Warga Nigeria, Malaysia dihukum gantung di S’pura

Warga Nigeria, Malaysia dihukum gantung di S’pura

SINGAPURA, 18 Nov – Singapura hari ini telah melaksanakan hukuman mati ke atas dua warga asing yang disabit dengan kesalahan menyeludup dadah, menurut pihak berkuasa, sehari selepas mahkamah tinggi negara kota menolak usaha terakhir kedua-dua lelaki itu untuk terlepas daripada hukuman.

Warga Nigeria dan Malaysia itu dihukum gantung selepas rayuan di saat-saat akhir mereka ditolak.

“Hukuman mati lelaki warga Nigeria berusia 38 tahun, Chijioke Stephen Obioha, dilaksanakan pada 18 November 2016 di Bangunan Penjara Changi,” menurut kenyataan Biro Pusat Narkotik (CNB).

Obioha, yang datang ke Singapura dengan harapan untuk menjadi pemain bola sepak, telah disabitkan dengan kesalahan menyeludup 2.6 kilogram kanabis pada tahun 2008. Di bawah undang-undang

Singapura, sesiapa yang ditangkap bersama lebih 500 gram kanabis boleh dihukum mati. Perubahan undang-undang pada tahun 2013 bermakna bahawa Obioha boleh memohon penghukuman semula, yang memungkinkan hukuman penjara seumur hidup, namun dia telah menolaknya, menurut CNB.

Semalam, peguamnya telah melancarkan usaha terakhir agar hukumannya diubah kepada penjara seumur hidup tetapi ditolak oleh tiga hakim mahkamah. Secara berasingan, CNB juga mengesahkan penghukuman mati warga Malaysia berusia 31 tahun, Devendran Supramaniam, yang disabit bersalah menyeludup heroin.

Dia diberkas pada Mei 2011 di pos pemeriksaan sempadan Singapura dengan Malaysia dengan membawa 2.7 kilogram bahan serbuk yang mengandungi 83.36 gram heroin asli. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA