Warga Norway, Indonesia bebas

Warga Norway, Indonesia bebas

INDANAN, Filipina, 18 Sept – Seorang warga Norway dan tiga pelaut warga Indonesia yang dijadikan tebusan di selatan Filipina telah diserahkan kepada utusan kerajaan hari ini setelah dibebaskan oleh pemberontak Islam yang telah memancung kepala dua tebusan mereka awal tahun ini.

Kjartan Sekkingstad dan pelaut-pelaut warga Indonesia itu telah diserahkan kepada utusan, Jesus Dureza di bandar Indanan di pulau Jolo, menurut seorang pemberita AFP yang berada di situ.

Pemindahan dibuat di kem yang dikawal ketat bagi seorang lagi ketua pemberontak Islam Nur Misuari, yang kumpulannya membantu pembebasan itu, menurut kerajaan.

Sekkingstad telah diculik dari kawasan peranginan pelancong mewah yang diuruskannya pada September 2015, bersama-sama tiga warga Kanada yang kemudian dipancung kepala mereka. Masih tidak jelas jika ketiga-ketiga warga Indonesia yang dibebaskan adalah tebusan sama yang diculik oleh lelaki-lelaki bersenjata dari kapal pukat tunda di perairan Malaysia pada Julai lalu.

Misuari (kanan) mengiringi warga Norway (kiri), Kjartan Sekkingstad semasa majlis penyerahan di bandar Indanan, wilayah Sulu, di pulau selatan Mindanao. Seorang warga Norway dan tiga pelaut Indonesia yang ditawan di selatan Filipina, hari ini diserahkan kepada kerajaan selepas ditahan oleh ekstremis yang sudah pun menyembelih dua tahanan awal tahun ini. – AFP
Misuari (kanan) mengiringi warga Norway (kiri), Kjartan Sekkingstad semasa majlis penyerahan di bandar Indanan, wilayah Sulu, di pulau selatan Mindanao. Seorang warga Norway dan tiga pelaut Indonesia yang ditawan di selatan Filipina, hari ini diserahkan kepada kerajaan selepas ditahan oleh ekstremis yang sudah pun menyembelih dua tahanan awal tahun ini. – AFP

Abu Sayyaf telah membebaskan Sekkingstad semalam, menyerahkan mereka kepada MIsuari yang terlibat dalam rundingan damai dengan kerajaan dan tebusan itu bermalam di kem Misuari, menurut Dureza.

Diiringi oleh kontinjen kecil polis Jolo, Dureza, Misuari, tebusan yang dibebaskan dan para pegawai tempatan, mengadakan pertemuan di sebuah bangunan yang dikelilingi oleh ratusan pejuang Misuari dari Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro sebelum meninggalkan kem tentera, menurut laporan itu lagi.

Pihak tentera berkata selepas pemeriksaan perubatan dan ulasan ringkas, Sekkingstad akan terbang ke bandar selatan Davao yang akan disambut oleh Presiden Rodrigo Duterte.

John Ridsdel dan Robert Hall, dua warga Kanada yang diculik bersama Sekkingstad telah dipancung selepas wang tebusan yang dituntut iaitu kira-kira 300 juta peso tidak dipenuhi, Ridsdel telah dibunuh pada April dan Hall pada Jun. – AFP