Warga Pakistan bantu Pusat Ehsan

Warga Pakistan bantu Pusat Ehsan

Oleh Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 Ogos – Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam hari ini telah menerima sumbangan sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri daripada komuniti Pakistan di Negara Brunei Darussalam dalam satu majlis yang berlangsung di Dewan Serbaguna, ibu pejabat pusat berkenaan hari ini.

Sumbangan disampaikan oleh Pesuruhjaya Tinggi Republik Islam Pakistan ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Brigadier (B) Muhammad Zareef Malik kepada Pemegang Amanah Kanan Pusat Ehsan Dato Paduka Mohd Alimin bin Haji Abdul Wahab.

Ia merupakan sumbangan daripada komuniti Pakistan yang terdiri daripada Shokat Bukhari bin Rahimshaf Bukhari dari Al-Bukhari Textile Sdn Bhd Textile, Mohd Ismail Afridi bin Haji Mohd Yaqoob dari Afridi Jaya Textile Sdn Bhd, Haji Syed Anayat Ullah Shah dari Dayang Limah dan Anak-Anak, Firoz Khan dari Firoz Jaya Silk House Sdn Bhd & Textile Palace dan Muhammad Azam Noor dari Persatuan Persahabatan Brunei Pakistan.

Majlis turut dihadiri oleh Pemegang Amanah Eksekutif Pusat Ehsan, Pengiran Datin Hajah Noraini PDNLDR Pengiran Haji Abdul Momin serta kanak-kanak dari Pusat Ehsan, pegawai dan kakitangan di pusat berkenaan.

Dato Paduka Mohd Alimin semasa menerima sumbangan daripada Tuan Yang Terutama Brigadier (B) Muhammad Zareef Malik.
Dato Paduka Mohd Alimin semasa menerima sumbangan daripada Tuan Yang Terutama Brigadier (B) Muhammad Zareef Malik.

Dato Paduka Mohd Alimin mengucapkan Selamat Hari Raya dan terima kasih ke atas sumbangan yang telah diberikan oleh komuniti Pakistan di negara ini.

Manakala Tuan Yang Terutama Brigadier (B) Muhammad Zareef Malik pula dalam ucapannya menjelaskan, beliau serta komuniti Pakistan tidak akan berhenti untuk memberikan sumbangan kepada kanak-kanak istimewa ini dan kepada mereka yang memerlukan.

Ini merupakan salah satu cara komuniti Pakistan menunjukkan rasa prihatin dan kasih sayang kepada anak-anak istimewa di pusat tersebut.

Pusat Ehsan merupakan sebuah badan kebajikan bukan kerajaan dan tidak berasaskan keuntungan dengan menyediakan pembelajaran khas, latihan, pemedulian dan perkhidmatan pemulihan anggota badan kepada insan-insan istimewa (kurang upaya atau berkeperluan khas) di negara ini.

ARTIKEL YANG SAMA