Warga perpustakaan terima anugerah

Warga perpustakaan terima anugerah

Oleh Normazlina M.D

 

TUTONG, 15 Nov – Untuk menghargai semangat dan sumbangan tenaga serta buah fikiran dalam kalangan pustakawan dan guru pengawas perpustakaan, satu Majlis Anugerah dan Penghargaan Warga Perpustakaan Unit Sumber Sekolah-sekolah bagi Sekolah-sekolah Daerah Tutong Tahun 2015 telah diadakan kelmarin bertempat di Dewan Serba guna Kampung Serambangun, Daerah Tutong.

Hadir selaku tetamu kehormat ialah Penolong Pengarah Merangkap Ketua Bahagian Pengurusan dan Prestasi Sekolah, Awang Nudin bin Haji Mohammad.

Turut hadir ialah Ketua Unit Sumber Sekolah, Hajah Khadijah binti Orang Kaya Seri Wijaya Haji Abdullah dan Ketua Kluster 5 di Jabatan Sekolah-sekolah Daerah Tutong, Awang Aliuddin bin Haji Abdul Rahman.

Sebanyak tiga kategori anugerah telah disampaikan iaitu Kategori Pemenang Perpustakaan Contoh, Kategori Pemenang Guru Pengawas Perpustakaan, dan Anugerah Pustakawan.

Antara guru-guru pengawas perpustakaan dan pustakawan yang menerima hadiah dan anugerah mereka di Dewan Serba guna Kampung Serambangun, Daerah Tutong, baru-baru ini.
Antara guru-guru pengawas perpustakaan dan pustakawan yang menerima hadiah dan anugerah mereka di Dewan Serba guna Kampung Serambangun, Daerah Tutong, baru-baru ini.

Majlis Anugerah dan Penghargaan tersebut dianjurkan oleh Kumpulan Sumber Sekolah 4 sebagai kesinambungan daripada Projek Bantu yang telah dilaksanakan pada bulan Julai 2013 oleh Kumpulan Sumber Sekolah 4, Unit Sumber Sekolah, Jabatan Sekolah-sekolah.

Ia antara lain bertujuan bagi membantu peranan mereka dalam pengurusan perpustakaan sekolah untuk memastikan kualiti perpustakaan sekolah-sekolah khususnya Perpustakaan Sekolah-sekolah Rendah yang sebilangannya tidak mempunyai kakitangan perpustakaan hanya dikendalikan oleh Guru Pengawas Perpustakaan, dalam keadaan yang terjaga.

Di samping itu, anugerah tersebut diadakan adalah bersempena Bulan Penghargaan bagi warga perpustakaan atas sumbangan ikhlas dalam membisaikan perpustakaan sekolah masing-masing.

Ia juga adalah sebagai galakan dan menanam minat warga sekolah serta pelajar agar sentiasa mengunjungi perpustakaan dan banyak meminjam buku sebagai bahan bacaan dan rujukan, serta pandai menggunakan sumber-sumber yang ada di perpustakaan itu.

ARTIKEL YANG SAMA