Warga Poland mengundi pilih presiden baru

Warga Poland mengundi pilih presiden baru

WARSAW, Poland, 10 Mei (AFP) – Warga Poland mengundi hari ini dalam pusingan pertama pilihan raya presiden selepas kempen yang suram memberi fokus ke atas isu-isu keselamatan kebangsaan dan sosial, dengan penyandang Bronislaw Komorowski dijangka memenanginya, tetapi bukan tanpa persaingan.

Ahli sejarah berusia 62 tahun itu, yang dipilih pada 2010 dan rapat dengan parti Civic Platform (PO), kelihatannya tidak mungkin meraih kejayaan bagi penggal kedua tanpa undian semula pada 24 Mei.

Sementara Komorowski memberi fokus ke atas cabaran keselamatan yang dihadapi Warsaw di tengah-tengah ketegangan semakin meningkat dengan Moscow berhubung krisis Ukraine, para penganalisis berkata pesaingnya mencuba merayu para pengundi yang kecewa dengan berikrar untuk menurunkan usia persaraan serta merendahkan cukai.

“Kempen mendedahkan jurang di antara rakyat yang mendapat manfaat sepanjang tempoh 25 tahun sejak kejatuhan komunisme pada 1989, dan mereka yang berasa kerugian,” penganalisis politik daripada Eryk Mistewicz memberitahu AFP.

Presiden Poland Bronislaw Komorowski membuang undi sambil diperhatikan isterinya Anna pada pusingan pertama pilihan raya presiden di Warsaw pada 10 Mei 2015. – AFP
Presiden Poland Bronislaw Komorowski membuang undi sambil diperhatikan isterinya Anna pada pusingan pertama pilihan raya presiden di Warsaw pada 10 Mei 2015. – AFP

“Komorowski disokong oleh para pengundi yang berfikir Poland mendapat manfaat daripada kebebasan yang diperbaharuinya, sementara semua calon lain disokong oleh orang-orang yang tidak gembira,” tambahnya, merujuk kepada 10 calon presiden yang lain.

Poland kini bersiap sedia bagi pilihan raya parlimen musim luruh ini dengan tinjauan pendapat awal meletakkan PO mengatasi dengan tipis pesaing utamanya, Parti Undang-undang dan Keadilan (PIS).

Calon presiden PiS Andrzej Duda, seorang peguam berusia 42 tahun, menyatakan ikrarnya kepada pengundi bagi penyediaan kemudahan sosial dalam ucapan sepanjang kempennya.