Warga PTET sertai Kempen Derma Darah

Warga PTET sertai Kempen Derma Darah

Oleh Normazlina M.D

 

TUTONG, 24 Mei – Sebanyak 41 pain darah telah berjaya dikumpulkan dalam Kempen Derma Darah yang dijalankan di Pusat Tingkatan Enam Tutong (PTET), pagi tadi.

Menurut Ketua Jabatan Sains PTET, Bryan David Haysum, kempen ini memberi peluang kepada pelajar-pelajar mereka melibatkan diri dalam membantu Unit Tabung Simpanan Darah Negara mengumpul stok darah bagi menyelamat nyawa serta menghulurkan bantuan kepada pesakit yang memerlukan darah.

Kempen Derma Darah yang dijalankan itu merupakan kali pertama diadakan pada tahun ini dengan kerjasama Unit Tabung Simpanan Darah, Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS) yang mana kempen ini dibukakan kepada pensyarah-pensyarah, kakitangan dan para pelajar PTET serta para ibu bapa.

Antara pelajar PTET yang mengikuti kempen menderma darah pagi kelmarin.
Antara pelajar PTET yang mengikuti kempen menderma darah pagi kelmarin.

Sebelum kempen derma darah dijalankan, satu taklimat mengenai derma darah telah disampaikan oleh pegawai dari Unit Tabung Simpanan Darah Hospital RIPAS, Awang Muhd Shahruney bin Haji Saparudin.

Salah seorang pelajar, Vernon Vincent yang turut menderma darah buat pertama kalinya berkata, beliau merasa amat gementar pada mulanya namun merasa amat berpuas hati setelah menderma darah kerana menderma darah adalah sebahagian amalan yang mulia kerana ia dapat menyelamatkan pesakit yang memerlukan darah.

ARTIKEL YANG SAMA