Warga Pusat Ehsan diceriakan

Warga Pusat Ehsan diceriakan

Oleh Salawati Haji Yahya

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 Sept – Seramai 40 orang mahasiswa-mahasiswi Tahun 1 dan 2 yang mengambil modul Melayu Islam Beraja (MIB) di Universiti Brunei Darussalam (UBD) terlibat dalam Program ‘Senyum Untuk Kehidupan Yang Lebih Cerah,’ di Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam, Kampung Bengkurong, hari ini.

Dalam temu bual media bersama Penolong Pengerusi program berkenaan, Awang Mohammad Shariman bin Haji Rosli menjelaskan, program sehari itu antara lain bertujuan untuk melahirkan rasa syukur dalam diri insan atas kurnia yang diberikan oleh Allah Subhanahu Wata’ala.

Di samping itu, ia juga bagi mengeratkan hubungan silaturahim sesama masyarakat dan mengajar untuk bersatu padu terutama dalam kalangan mahasiswa dan mahasiswi UBD.

Persembahan daripada UBD memeriahkan suasana program.
Persembahan daripada UBD memeriahkan suasana program.
Antara ahli Pusat Ehsan yang terhibur dengan persembahan daripada UBD di program tersebut.
Antara ahli Pusat Ehsan yang terhibur dengan persembahan daripada UBD di program tersebut.

Antara aktiviti yang diadakan seperti persembahan pentas yang menceriakan warga pusat berkenaan selain permainan merebut kerusi mengikut muzik, peraduan mewarna dan acara kemuncak ialah kempen kebersihan di kawasan pusat berkenaan.

Sebelum memulakan aktiviti bersama ahli pusat berkenaan, rombongan UBD juga ber-peluang mengadakan lawatan ke Bahagian Kraf Tangan di ruang lain pusat berkenaan.

Acara turut dihadiri oleh Pemegang Amanah Eksekutif Pusat Ehsan, Pengiran Datin Hajah Noraini binti Pengiran Dipa Negara Laila Diraja Pengiran Haji Abdul Momin dan Pensyarah MIB di Akademi Pengajian Brunei, UBD, Haji Mohd Rafee bin Haji Shahif.