Warga Radio Brunei teruskan Jalinan Kasih

Warga Radio Brunei teruskan Jalinan Kasih

Oleh Normazlina M.D & Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Jun – Perkhidmatan Radio Brunei, Radio Televisyen Brunei (RTB), semalam, telah meneruskan lagi Projek Jalinan Kasih ke-8 di Daerah Brunei dan Muara di mana rombongan berkenaan menghulurkan sumbangan dan derma kepada mereka kurang bernasib baik dan memerlukan bantuan.

Rombongan yang diketuai oleh Pemangku Ketua Radio, Pengiran Ahmad bin Pengiran Haji Mahmud itu turut disertai wakil-wakil dari Makan Ceria Sdn Bhd.

Di samping itu, menerusi program berkenaan, Perkhidmatan Radio Brunei juga telah mengadakan majlis berbuka puasa bersama anak-anak yatim dan Persatuan Orang-orang Berkerusi Roda, sumbangan Ajwa Kitchen.

Majlis yang diadakan di rumah Ajwa Kitchen, Perpindahan Lambak Kanan itu telah dimulakan dengan bacaan Tahlil dan Doa Selamat, dan diteruskan dengan penyampaian sijil penghargaan kepada penyumbang Majlis Berbuka Puasa berkenaan.

Turut hadir pada majlis itu ialah Pengiran Ahmad dan wakil dari Ajwa Kitchen, Awang Mohammad Adi Shukrie bin Haji Aji @ Haji Mohd Zain.

Bergambar ramai bersama Persatuan Orang-Orang Berkerusi Roda.
Bergambar ramai bersama Persatuan Orang-Orang Berkerusi Roda.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan, Projek Jalinan Kasih ini telah mula diperkenalkan pada tahun 2009 untuk mendekati anak-anak yatim, warga emas, orang-orang berkeperluan khas, saudara-saudara baru dan mereka yang kurang berkemampuan.

Ia bertujuan untuk memasyarakatkan peranan radio sebagai usaha berterusan ke arah mendokong hasrat kerajaan mewujudkan budaya hidup bermasyarakat yang penyayang dan prihatin kepada yang kurang bernasib baik dan memerlukan bantuan.

Projek yang dikendalikan buat kali ke-8 oleh Bahagian Perkhidmatan Radio, RTB ini juga selaras dalam mendokong sambutan Hari Keluarga kebangsaan yang bertemakan ‘Keluarga Berwawasan.’

Menerusi projek ini, Pasukan Perkhidmatan Radio bergerak keempat-empat daerah bagi mengunjungi dan mengagihkan derma serta sumbangan kepada mereka yang terpilih bagi meringankan bebanan dan membantu penerima-penerima yang kurang berkemampuan.

Ia akan diteruskan lagi esok di Daerah Tutong, dan di Daerah Belait pada 18 Jun manakala itu Daerah Temburong pada 20 Jun.

ARTIKEL YANG SAMA