Warga RTB sertai Kursus Marsyal Bomba

Warga RTB sertai Kursus Marsyal Bomba

Oleh Syahmi Hassan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 Jan – Jabatan Bomba dan Penyelamat melalui Unit Perhubungan Awam dengan kerjasama Pusat Penyiaran Radio dan Televisyen Brunei (RTB) telah mengendalikan Kursus Marsyal Bomba bagi warga Jabatan RTB yang berlangsung selama tiga hari bermula 11 Januari lalu.

Dalam kursus berkenaan, para peserta mempelajari mengenai teknik pemadaman api, jenis-jenis pemadam api, teknik pengosongan bilik gelap dan juga praktikal membawa mangsa-mangsa dari bangunan sekiranya berlaku kebakaran.

Pada hari terakhir, hari ini, para peserta telah menjalankan latihan kebakaran di RTB Sungai Akar dan mengadakan lawatan ke Balai Operasi Wanita.

Kursus yang berlangsung di Jabatan Bomba dan Penyelamat, Lapangan Terbang Lama Berakas itu diakhiri dengan majlis penyampaian sijil.

Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyempurnakan penyampaian sijil ialah Penolong Penguasa, Awang Muhd Noor Aflan bin Awang Kachi.

Tetamu kehormat bergambar ramai bersama para peserta Kursus Marsyal Bomba.
Tetamu kehormat bergambar ramai bersama para peserta Kursus Marsyal Bomba.
Awang Muhd Noor Aflan menyampaikan sijil kepada salah seorang peserta kursus.
Awang Muhd Noor Aflan menyampaikan sijil kepada salah seorang peserta kursus.

Turut hadir ialah Penyelaras Kursus berkenaan, Pegawai Balai Rozita binti Haji Mohd Kamis.

Majlis telah dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh salah seorang peserta kursus berkenaan, Awang Azizul Hanif Al-Asma’an bin Mohd Salleh.

Selesai sahaja acara penyampaian sijil, Ketua Kursus berkenaan, Dayang Salmi binti Haji Abdul Karim, sebagai wakil peserta-peserta kursus dari RTB telah menyampaikan ucapan terima kasih.

Majlis ditutup dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat oleh Awang Azizul Hanif Al-Asma’an.

Salah seorang peserta kursus yang ditemui Awang Al-Fayyadh bin Metusin berkata; “Sebelum ini, saya belum pernah mempunyai latihan Marsyal Bomba.

Kali ini, saya telah mengetahui teknik pemadaman api, jenis-jenis pemadaman api, bagaimana untuk mengosongkan bilik dan sebagainya. Ini sangat berguna bagi setiap jabatan dan setiap organisasi.

“Marsyal Bomba merupakan orang-orang yang ditugaskan untuk bersedia jika sekiranya ada kebakaran, Marsyal Bomba lah yang mengira, membawa dan menyelamatkan mangsa serta ditugaskan untuk menghubungi dengan segera pihak bomba,” jelas beliau lagi dalam temu bual bersama Media Permata.

ARTIKEL YANG SAMA