Warga Rumah Orang-orang Tua terima sumbangan Tiong Hua

Warga Rumah Orang-orang Tua terima sumbangan Tiong Hua

Oleh Hajah Saemah Kepli

SERIA, 1 Feb – Warga emas yang tinggal di Rumah Orang-orang Tua di sini, terus menerima kunjungan dengan hasrat untuk menceriakan mereka bersempena Sambutan Tahun Baru Cina 2016 yang akan diraikan oleh masyarakat Cina Isnin depan.

Turut berkunjung dan menyampaikan sumbangan serta cenderahati berupa Ang Pao dan bungkusan barangan makanan ialah rombongan dari Dewan Perniagaan Tiong Hua Daerah Belait yang telah diketuai oleh Timbalan Presidennya, Awang Loo Soon Nin.

Memberitahu Media Permata hari ini, Awang Loo Soon Nin berkata, di samping untuk membantu menceriakan kalangan penghuni di rumah orang-orang tua itu, aktiviti tahunan persatuan mereka itu turut bertujuan untuk menanamkan sikap sentiasa membantu masyarakat yang memerlukan bukan sahaja dalam kalangan warga Cina malahan juga pelbagai bangsa masyarakat di negara ini.

Menurutnya, bersempena sambutan Tahun Baru Cina setiap tahun, Rumah Orang-orang Tua itu menjadi fokus utama mereka untuk dikunjungi sebelum menjelangnya perayaan.

Awang Loo Soon Nin (paling kanan) bersama ahli-ahli dewan tersebut menyampaikan cenderahati berupa Ang Pao kepada penghuni-penghuni Rumah Orang-orang Tua di sini.
Awang Loo Soon Nin (paling kanan) bersama ahli-ahli dewan tersebut menyampaikan cenderahati berupa Ang Pao kepada penghuni-penghuni Rumah Orang-orang Tua di sini.
Rombongan Dewan Perniagaan Tiong Hua Daerah Belait bergambar ramai bersama penghuni-penghuni Rumah Orang-orang Tua Pekan Seria.
Rombongan Dewan Perniagaan Tiong Hua Daerah Belait bergambar ramai bersama penghuni-penghuni Rumah Orang-orang Tua Pekan Seria.

Selain itu, katanya, beberapa aktiviti lain seperti mengadakan rumah terbuka dalam kalangan ahli-ahli jawatankuasa juga tidak pernah ketinggalan diadakan, bukan saja dikunjungi oleh kalangan sanak saudara tetapi juga berbagai-bagai bangsa masyarakat yang terdiri daripada rakan-rakan dan kenalan.

“Semua itu merupakan budaya kami untuk saling merapatkan hubungan, bersama dengan sanak saudara, dan juga rakan-rakan niaga, serta kenalan, dan merebut peluang untuk dapat bertemu, kerana pada hari-hari biasa masing-masing sibuk dengan komitmen sendiri dan tidak banyak waktu lapang untuk bertemu,” katanya.

Rumah Orang-Orang Tua yang kini dihuni oleh kurang daripada sepuluh orang warga emas yang tidak mempunyai keluarga terdekat, hanya mengharapkan kasih sayang daripada beberapa orang sukarelawan yang bekerja di rumah berkenaan yang menjaga dan memeduli mereka.

ARTIKEL YANG SAMA