Warga sekolah bantu mangsa kebakaran rumah

Warga sekolah bantu mangsa kebakaran rumah

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 Nov – Bagi membantu meringankan beban mangsa-mangsa tragedi kebakaran khususnya para pelajar, Jabatan Sekolah-sekolah, Kementerian Pendidikan telah menghulurkan sumbangan derma kepada beberapa orang pelajar dari Sekolah Rendah Masin dan Sekolah Menengah Sayyidina Hasan yang ditimpa musibah kebakaran baru-baru ini.

Sehubungan itu, majlis penyerahan derma telah diadakan hari ini, di Sekolah Menengah Sayyidina Hasan yang disempurnakan oleh Penolong Pengarah/Ketua Bahagian Pentadbiran, Jabatan Sekolah-sekolah, Kementerian Pendidikan, Haji Mohamad bin Rajap.

Hadir sama ialah para pegawai dari Jabatan Sekolah-sekolah, para pengetua, guru besar dan guru-guru dari sekolah-sekolah menengah dan rendah di Kluster 2.

Sumbangan bantuan berupa wang tunai itu adalah sebagai tanda prihatin dan simpati terhadap para pelajar berkenaan yang menjadi mangsa kebakaran rumah pada 2 Oktober dan 5 Oktober lalu.

Haji Mohamad bergambar ramai bersama para penerima sumbangan, pegawai dari Jabatan Sekolah-sekolah dan keluarga para penerima.
Haji Mohamad bergambar ramai bersama para penerima sumbangan, pegawai dari Jabatan Sekolah-sekolah dan keluarga para penerima.
Haji Mohamad ketika menyampaikan derma kepada Dayang Ayuneey Izzati.
Haji Mohamad ketika menyampaikan derma kepada Dayang Ayuneey Izzati.

Bantuan berkenaan adalah hasil kutipan derma daripada para pegawai dan kakitangan di Jabatan Sekolah-sekolah dan juga dari pusat tingkatan enam, maktab, sekolah menengah dan sekolah-sekolah rendah di bawah Kluster 2.

Pada majlis itu, Haji Mohamad menyampaikan sumbangan derma kepada wakil Dayang Ting Sieng Hong, pelajar Tahun 11 Sains II, Sekolah Menengah Sayyidina Hasan sebanyak $1,468, Awang Mohd Isma Syahmie bin Masuni, pelajar Tahun 5, Sekolah Rendah Masin sebanyak $611, Dayang Ayuzeey Izzati binti Suhari, pelajar Tahun 3A, Sekolah Rendah Masin sebanyak $611 dan Dayang Ayuneey Izzati binti Suhari, pelajar Tahun 3B, Sekolah Rendah Masin sebanyak $611.

Haji Mohamad berkata sumbangan derma itu dihasratkan dapat membantu meringankan beban para pelajar yang ditimpa musibah dan diharap ia juga digunakan oleh mereka untuk membeli peralatan keperluan sekolah.

ARTIKEL YANG SAMA