Warga Sekolah St James lawat Burger King

Warga Sekolah St James lawat Burger King

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 17 Nov – Seramai 52 orang murid Tahun 1, bersama empat orang guru Sekolah St James telah mengadakan lawatan sambil belajar ke restoran makanan segera Burger King di pekan ini, hari ini.

Pegawai Perhubungan Awam merangkap Pegawai Pemasaran Burger King, Dayangku Emy binti Pengiran Haji Metassan bersama Pengurus Pemasaran Burger King, Lim Kai Wei mengalu-alukan kedatangan rombongan tersebut dan menyediakan beberapa aktiviti bagi murid-murid berkenaan.

Menurut Dayangku Emy, ini merupakan kali pertama mereka menerima kunjungan daripada murid-murid sekolah di daerah ini, dan ia merupakan sebagai aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi syarikat mereka.

Dalam lawatan itu, murid-murid telah dibawa meninjau ke kawasan dapur dan berpeluang melihat sendiri bagaimana makanan disediakan oleh para pekerjanya, selain diterangkan mengenai pengawalan keselamatan dan kesihatan makanan di restoran tersebut.

Dayangku Emy (kanan) dan Lim Kai Wei ketika menyampaikan hadiah kepada salah seorang pelajar yang menang peraduan mewarna.
Dayangku Emy (kanan) dan Lim Kai Wei ketika menyampaikan hadiah kepada salah seorang pelajar yang menang peraduan mewarna.

Murid-murid juga telah menyertai pertandingan mewarna dan menerima hadiah daripada Burger King kepada pemenangnya di samping berpeluang menikmati makanan yang popular daripada menu restoran tersebut yang juga menjadi kegemaran dalam kalangan kanak-kanak dan remaja.

Lim Kai Wei memberitahu Media Permata, biarpun kali pertama mereka menerima kunjungan daripada murid-murid sekolah, mereka telah cuba membuat persiapan yang boleh menceriakan pelawat berkenaan.

Sementara itu, salah seorang guru yang mengiringi para pelajar berkenaan tersebut pula memberitahu, lawatan berkenaan adalah untuk memberikan pengalaman dan pengetahuan yang mendalam kepada mereka mengenai pembelajaran di luar sekolah, dan mereka akan diberikan tugasan ringan seperti membuat karangan mengenai apa yang sudah mereka saksikan dan sebagainya.

Selain melawat Restoran Burger King, sebelum ini, rombongan pelajar itu juga pernah membuat lawatan sambil belajar ke beberapa buah restoran dan kedai-kedai kek di pekan ini, dengan tujuan sama untuk menambahkan ilmu pengetahuan serta sebagai salah satu aktiviti di luar kelas mereka.

ARTIKEL YANG SAMA