Warga Sekolah St Margaret rai Aidilfitri

Warga Sekolah St Margaret rai Aidilfitri

Oleh Anwar Rosly

 

KUALA BELAIT, 31 Julai – Sambutan Aidilfitri Sekolah St Margaret tahun ini amat menggembirakan kerana ia bukan sahaja hari yang dinanti-nantikan oleh masyarakat Islam, malah sekolah ini juga meraikan pencapaian terbesarnya dengan peningkatan paling tinggi dalam Peperiksaan GCE O Level di Daerah Belait dan juga bagi seluruh daerah.

Pengetua Awang Koh Hong Puah ketika ditemu bual di Majlis Hari Raya Aidilfitri Bersama Guru dan Pelajar di sekolah itu berkata, beliau amat gembira dengan pencapaian tahun lepas bagi para pelajar Tahun 11 yang memperoleh kelulusan 78 peratus dan meluahkan rasa harapan tinggi kepada pelajar-pelajar Tahun 11 tahun ini agar meningkatkan lagi usaha mereka untuk memecahkan rekod pencapaian pada tahun lepas.

“Faktor pencapaian tahun lepas adalah hasil kerjasama dan kerja berpasukan di antara guru, pelajar serta ibu bapa, yang mana guru-guru kami amat berdedikasi dalam mendidik pelajar-pelajar mereka. Pelajar-pelajar yang berdisiplin juga telah menunjukkan ketekunan untuk mempelajari mata pelajaran mereka dan tidak lupa sokongan padu daripada ibu bapa yang tidak putus-putus,” ujar beliau.

Tambahnya lagi, para guru dan pelajar yang akan menghadapi peperiksaan GCE O Level pada tahun ini akan cuba menghabiskan subjek mata pelajaran seawal bulan Mac dan paling akhir pada bulan Jun bagi mempersiapkan kesemua guru dan pelajar untuk membuat kerja semakan agar mereka dapat fokus terhadap peperiksaan tersebut.

Para pelajar tahun 11 ketika bersalaman dengan pengetua sekolah berkenaan.
Para pelajar tahun 11 ketika bersalaman dengan pengetua sekolah berkenaan.
Pengetua sekolah ketika berada di kelas pelajar pra-tadika.
Pengetua sekolah ketika berada di kelas pelajar pra-tadika.

Selain itu, Awang Koh juga menyuarakan kegembiraan beliau dengan mengumumkan ulang tahun yang ke-60 Sekolah St Margaret pada tahun hadapan.

“Pada masa ini kami sedang merancang dan menimbangkan untuk mengubahsuai perpustakaan sekolah ini bagi menampung keperluan para pelajar dengan menambah buku-buku yang baru,” jelasnya.

Dalam acara Aidilfitri ini, kakitangan pentadbiran dan guru-guru kelas masing-masing mengiringi pengetua untuk melawat kesemua kelas-kelas tersebut dari Pra-Tadika hinggalah ke Tahun 11 bagi menikmati juadah yang dihidangkan oleh para pelajar sekolah itu.

ARTIKEL YANG SAMA