Warga Singapura berdepan tuduhan rasuah

Warga Singapura berdepan tuduhan rasuah

Oleh Rafidah Jumat

 

pg06_160523_mahkamah logo2BANDAR SERI BEGAWAN, 22 Mei – Seorang pengurus Syarikat Bustermite Pest Control telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret, semalam, atas pertuduhan memberi rasuah kepada seorang pegawai di Kementerian Kesihatan, pada 2014.

Robert Tan Giok Poh, 62, warga Singapura didakwa memberi rasuah berjumlah $300 dan lima tiket ‘Disney Aladdin on Skates’ kepada Penolong Pegawai Projek (Gred 1) di bahagian Pengurusan Estet dan Kemajuan Projek pada 23 Julai 2014.

Wang dan tiket itu adalah sebagai ganjaran memproses pembayaran bil bulan kedua terakhir bagi syarikat itu berjumlah $141,610.80 berkaitan dengan kerja membasmi anai-anai di Hospital Suri Seri Begawan, Kuala Belait.

Dia didakwa mengikut Seksyen 6(b) Akta Pencegahan Rasuah, Penggal 131, dihukum di bawah Seksyen 7 yang sama, yang boleh membawa denda $30,000 dan juga pemenjaraan selama 10 tahun.

Timbalan Pendakwa Raya, Chris Ng memohon penangguhan kes selama sebulan bagi membolehkan tertuduh mempertimbangkan pengakuannya, dan tidak membantah ikat jamin diberikan kepadanya.

Majistret Dewi Norlelawati binti Haji Abdul Hamid menetapkan defendan dilepaskan dengan ikat jamin $10,000 atau dua penjamin tempatan, dan menetapkan 22 Jun untuk sebutan semula kes.

ARTIKEL YANG SAMA