Warga Singapura maut jatuh gaung di Gunung Kinabalu

Warga Singapura maut jatuh gaung di Gunung Kinabalu

KOTA KINABALU, 2 Okt – Seorang warga Singapura maut dipercayai terjatuh ke dalam gaung sedalam 150 meter ketika menjalani latihan pendakian sebagai persiapan menghadapi perlumbaan Climbathon Antarabangsa Gunung Kinabalu pada 16 Okt ini.

Mayat Woon Tai Kiang dijumpai berhampiran Sayat-Sayat iaitu di KM6.7, pada pukul 7.33 pagi tadi oleh Pasukan Bantuan Mencari dan Menyelamat Di Gunung (MOSAR) dan Pasukan Mencari dan Menyelamat (SAR) Taman-Taman Sabah.

“Mayat mangsa yang belum diketahui umurnya masih ditempatkan di Hospital Ranau dan akan dihantar ke Hospital Queen Elizabeth Kota Kinabalu untuk bedah siasat,” kata Ketua Polis Daerah Ranau, DSP Mohd Farhan Lee Abdullah ketika dihubungi Bernama.

Menurut Mohd Farhan pihaknya masih menyiasat punca kejadian berkenaan.

Sementara itu, menurut Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sabah, pihaknya dimaklumkan mengenai kejadian tersebut oleh pihak Taman-Taman Sabah pada pukul 6.48 pagi tadi selepas mangsa tidak melalui Tempat Pemeriksaan Timpohon Gate serta gagal dihubungi.

Seorang pendaki Gunung Kinabalu warganegara Singapura, Woon Tai Kiang maut dipercayai terjatuh ke dalam gaung ketika menjalani latihan pendakian sebagai persiapan menghadapi perlumbaan Mount Kinabalu International Climbathon 16 Oktober ini.
Mayatnya dijumpai berhampiran Sayat-Sayat iaitu di KM 6.7 kira-kira jam 7.33 pagi tadi oleh pasukan bantuan mencari dan menyelamat.
– Bernama

Menurut PGO, MOSAR dan SAR Taman-Taman Sabah memulakan operasi mencari mangsa sejak tengah malam tadi dengan membuat pemeriksaan di sekitar Laban Rata dan beberapa penginapan di Gunung Kinabalu namun gagal menemui mangsa.

“Disebabkan keadaan cuaca ketika itu berkabus, pihak Taman-Taman Sabah mengambil keputusan menangguhkan operasi SAR dan menyambungnya semula pada jam 6 pagi tadi,” katanya.

Menurut PGO, mangsa dijumpai kira-kira pukul 7.30 pagi tadi di gaung sedalam 150 meter berhampiran Sayat-Sayat.

Mayat kemudian dibawa naik dari gaung itu sebelum dibawa turun dari Gunung Kinabalu dan tiba di Timpohon Gate pada pukul 1.33 tengah hari dan diserahkan kepada polis. – Bernama