Warga S’pura utama jaminan pekerjaan daripada gaji

Warga S’pura utama jaminan pekerjaan daripada gaji

SINGAPURA, 20 Julai – Buat kali pertama, warga Singapura memberi keutamaan pada jaminan pekerjaan lebih daripada gaji apabila memilih majikan, menurut dapatan satu tinjauan tahunan oleh firma CareerBuilder Singapore yang dikeluarkan hari ini.

Jaminan pekerjaan juga mengatasi semua pertimbangan lain – seperti perkembangan dan peluang kerjaya, budaya kerja dan persekitaran fizikal – dalam Tinjauan Majikan Pilihan 2016 firma perekrutan itu. Lapor Berita Harian edisi online hari ini.

“Ini tidak menghairankan di tengah-tengah pertumbuhan ekonomi perlahan tahun ini,” kata CareerBuilder Singapore.

Seramai 1,837 responden mengambil bahagian dalam tinjauan itu, yang dimulakan pada 2006.

Tinjauan 2016 juga mendapati lebih ramai rakyat Singapura sedang menimbang mencebur kerjaya dalam syarikat permulaan, terutamanya kerana peluang pembelajaran yang ditawarkan.

Laman beli-belah dalam talian Carousell majikan permulaan paling menjadi pilihan, diikuti oleh kedai runcit dalam talian Redmart dan portal kewangan dalam talian MoneySmart.

Google, Singapore Airlines dan Changi Airport Group mengekalkan kedudukan utama mereka sebagai majikan pilihan dalam sektor swasta bagi dua tahun berturut turut.

Industri hospitaliti dan pelancongan juga menjadi tarikan dalam kalangan pencari kerja. – BHS

ARTIKEL YANG SAMA