Warga Sukan SEA beri penghormatan kepada mangsa gempa Sabah

Warga Sukan SEA beri penghormatan kepada mangsa gempa Sabah

SINGAPURA, 8 Jun (AFP) – Atlet, pegawai dan peminat di Sukan SEA ke-28, di sini memberi penghormatan dan takziah kepada mangsa bencana gempa bumi di Gunung Kinabalu, Sabah yang mengorbankan nyawa enam kanak-kanak dan dua orang dewasa dari negara terbabit.

Semua gelanggang sukan di negara itu memberi penghormatan apabila Singapura isytihar hari berkabung selepas jumlah kehilangan nyawa rakyat Singapura diketahui, semalam.

Antara mangsa adalah kanak-kanak yang membuat kunjungan cuti sekolah ke destinasi pendakian popular di Malaysia itu ketika gempa bumi berukuran 6.0 skala Richter melanda Sabah.

Seorang pelajar warga Singapura dan seorang guru dilaporkan masih hilang selepas bencana itu dengan jumlah angka kematian keseluruhan dipercayai melebihi 16 orang.

Sejumlah 18 acara sukan dijadualkan berlangsung pada hari ini dengan bertafakur selama seminit di setiap gelanggang sebelum pertandingan bermula.

“Sekalipun kita meneruskan temasya ini, marilah kita semua sebagai komuniti atlet, pegawai dan orang ramai bersatu untuk mengingati dan memberi penghormatan kepada mangsa yang kehilangan nyawa dan terus berdoa terhadap mangsa yang masih hilang,” demikian menurut kata penganjur dalam satu kenyataan.

ARTIKEL YANG SAMA