Warga S’wak digesa ceburi industri berteknologi tinggi

Warga S’wak digesa ceburi industri berteknologi tinggi

KUCHING, 15 April (Bernama) – Semi-conductor foundry X-FAB Sarawak, satu daripada 10 syarikat pembuatan utama di Sarawak, menggesa lebih ramai generasi muda negeri itu memenuhi jurang tenaga kerja dalam industri berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Mike Young berkata syarikat itu mempunyai dasar pengambilan penduduk tempatan, terutama dari Sarawak, untuk semua peringkat, terutama jurutera, yang mampu mengendalikan peralatan berteknologi tinggi berkaitan bidang berkenaan.

“Kemudahan kami semakin dikenali dan menarik kepada penduduk tempatan. Tambahan pula, 60 peratus daripada 1,000 pekerja kami terdiri daripada Bumiputera.

“Kami tidak menghadapi sebarang masalah di peringkat langsung dan operator pekerjaan. Namun dalam fasa selanjutnya terutama penyelidikan dan pembangunan, kami perlukan jurutera khusus untuk model, perantu dan fizik, yang merupakan kemahiran yang sangat khusus.

“Ia merupakan industri yang sangat kecil. Kami memerlukan jurutera yang mempunyai pengalaman pada sekurang-kurangnya 10 tahun,” katanya kepada Bernama di sini baru-baru ini.

Gambar fail bertarikh 13 April 2016 menunjukkan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Ahmad Maslan (kanan) menunjukkan Microchip keluaran X-FAB Sarawak selepas melawat kilang tersebut. Turut memerhati Mike Young (tengah). – Bernama
Gambar fail bertarikh 13 April 2016 menunjukkan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Ahmad Maslan (kanan) menunjukkan Microchip keluaran X-FAB Sarawak selepas melawat kilang tersebut. Turut memerhati Mike Young (tengah). – Bernama

Young berkata ada proses dan keperluan perkakasan yang memerlukan kepakaran khusus, dan pada masa yang sama memerlukan ramai pekerja untuk mencetak cip mikro.

“Disebabkan kekurangan profesional dan jurutera tempatan yang berkelayakan, kami perlu mencari calon hingga ke Singapura, Australia dan AS.

“Kami sedang berusaha memujuk universiti di Sarawak dan dari seluruh negara supaya menyediakan saluran yang sesuai untuk keperluan industri, sama ada fizik atau elektronik, bagi menampung kehendak industri,” kata Young yang juga Naib Presiden Persatuan Fabrikasi Smikonduktor Malaysia.

X-FAB ialah kumpulan faundari utama analog/isyarat bercampur dan MEMS (microelectromechanical systems), mangeluarkan wafer silikon untuk aplikasi automotif, industri, pengguna dan perubatan.

ARTIKEL YANG SAMA