Warga tempatan ditemui mati

Warga tempatan ditemui mati

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 Okt – Seorang lelaki warga tempatan telah ditemui dengan keadaan kepalanya terendam dalam air dan tidak sedarkan diri di atas sebuah perahu jenis kaca gentian yang dijumpai terapung di kawasan Laut Teritip.

Anggota Peronda Polis Marin yang menjumpai perahu berkenaan pagi tadi, telah membawa mangsa, yang berusia 31 tahun, ke Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS) dan disahkan telah meninggal dunia oleh doktor yang bertugas.

Menurut kenyataan Pasukan Polis Diraja Brunei, di sini, kes berkenaan disiasat sebagai kematian luar biasa, walau bagaimanapun, pihak polis ketika ini tidak mengesyaki sebarang penganiayaan.

Keluarga mangsa telah pun dimaklumkan dan kes ini masih dalam siasatan polis.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian ini bolehlah menghubungi pihak Polis Marin di talian 2773549/ 2774000 atau Hotline 993 untuk membantu siasatan.