Warga tempatan hilang ditemui mati

Warga tempatan hilang ditemui mati

Oleh Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 Julai – Dua lelaki warga tempatan yang dilaporkan hilang di laut dekat kawasan pelantar minyak Magpie dan Ampa Patch, awal pagi kelmarin, telah ditemui mati oleh orang awam, petang tadi.

Mayat pertama ditemui terapung jam 3.50 petang di kawasan Ampa Patch, manakala yang kedua ditemui 50 meter daripada mayat pertama.

Menurut laporan, kedua-dua mangsa berkenaan turun ke laut pada 15 Julai kira-kira jam 5.30 pagi dari tempat penurunan perahu di Jalan Lalit, Kampung Telisai.

Perahu mangsa ditemui di kawasan pelantar minyak Ampa Patch dan Magpie, yang kemudiannya dibawa balik ke tempat pendaratan perahu di Kampung Telisai.

Siasatan ke atas perahu berkenaan mendapati tangki minyak masih penuh, enjin tidak hidup, barang-barang dan jaket keselamatan masih ada di dalam perahu.

Operasi mencari dan menyelamat turut melibatkan dua buah helikopter Brunei Shell Petroleum Sdn Bhd (BSP) dengan membuat rondaan di kawasan pencarian iaitu Magpie
dan Ampa Patches. KDB Darulehsan juga terlibat dalam pencarian berkenaan di kawasan-kawasan berdekatan.

ARTIKEL YANG SAMA