Warga Vietnam didenda $1,000

Warga Vietnam didenda $1,000

Oleh Rafidah Jumat

 

pg06_161014_mahkamah-logo2BANDAR SERI BEGAWAN, 13 Okt – Seorang warga Vietnam dijatuhi denda $1,000 atau berdepan dua bulan penjara jika gagal membayar denda itu, oleh Mahkamah Majistret di sini, selepas menukar pengakuan tidak bersalah kepada ‘bersalah’ atas pertuduhan memasuki perairan Brunei untuk menangkap ikan secara haram.

Son Xich, 34, bersama 37 orang warga Vietnam yang lain didakwa melakukan kesalahan itu dalam dua kapal menangkap ikan pada 31 Ogos 2016.

Rakan-rakannya, pada 29 September lalu, telah menerima hukuman mereka apabila dijatuhi denda $1,000 atau dua bulan penjara bagi setiap kru manakala dua orang ketua kru dijatuhi denda $10,000 atau 10 bulan penjara jika gagal membayar denda.

Son Xich pada sebutan ketika itu rebah dan terpaksa dikejarkan ke hospital dan sebutannya ditunda ke hari ini.

Timbalan Pendakwa Raya, Kamaliah binti Haji Ibrahim turut memaklumkan mahkamah bahawa seorang lagi tertuduh, Dang Thanh Vu, 33, tidak dapat hadir ke mahkamah kerana masih lagi dikuarantin di Pusat Pengasingan Kebangsaan Daerah Tutong.

“Kami tidak ada tarikh bila dia akan dikeluarkan,” beritahu Timbalan Pendakwa Raya yang turut memohon bagi penetapan tarikh sebutan Dang Thanh Vu.

Ketua Majistret, Muhammad Faisal bin PDJLD DSP Haji Kefli meminta Timbalan Pendakwa Raya untuk mendapatkan pengesahan daripada doktor bertugas mengenai keadaan Dang Thanh Vu sama ada dia berupaya untuk dibicarakan.

Ketua Majistret kemudian menetapkan 31 Oktober untuk sebutan semula.

ARTIKEL YANG SAMA