‘Waris’, Datuk Jalaluddin temui peminat di KB

‘Waris’, Datuk Jalaluddin temui peminat di KB

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 19 Ogos – Filem Waris terbitan Bego Hazirul Production memulakan tayangannya di Times Cineplex KBSentral petang tadi di mana ia telah mendapat sambutan yang menggalakkan daripada peminat-peminat filem tanah air.

Turut menjadi tumpuan pada tayangan pertama di panggung wayang berkenaan ialah kehadiran pelakon terkenal Malaysia, Datuk Jalaluddin Hassan yang membuat penampilan istimewa dalam filem berkenaan.

Waris mengisahkan kejadian misteri sebuah rumah agam yang sudah lama ditinggalkan tanpa penghuni, setelah ketua rumah meninggal dunia dan salah seorang anak perempuannya tidak pernah lagi kembali ke rumah itu sejak dihalau ayahnya yang tidak menyukai lelaki pilihannya.

Sebelum pemergiannya, ketua rumah berkenaan, Liau Kancang mengamanahkan rumahnya dijaga oleh pembantunya yang merupakan seorang warga Indonesia bernama Pak Suparto.

Pengurus Bego Hazirul Production, Awang Nor Alimin bin Haji Garib memberitahu Media Permata, penampilan Datuk Jalaluddin Hassan dalam filem pertama mereka itu telah menghidupkan jalan cerita, dan mereka amat berbangga kerana dapat menampilkan artis terkenal itu yang juga buat pertama kali menerima undangan berlakon dalam filem keluaran Brunei.

Barisan yang menjayakan filem misteri Waris terbitan Bego Hazirul Production.
Barisan yang menjayakan filem misteri Waris terbitan Bego Hazirul Production.

Menurut beliau, filem Waris telah ditayangkan serentak kelmarin di Cinema Times Square dengan tiket terjual habis, dan hari ini ia ditayangkan di Kuala Belait.

Filem ini juga bakal ditayangkan di Malaysia dan Indonesia selepas tayangannya di negara ini.

Beliau juga memberitahu, filem itu telah melibatkan seramai 30 orang artis Brunei, seramai empat orang artis Malaysia, 22 orang kru dari Brunei dan empat orang kru dari Malaysia.

Datuk Jalaluddin Hassan semasa ditemui Media Permata memberitahu, beliau memang rasa berdebar untuk menyaksikan filem itu, untuk melihat apakah hasil keseluruhan jalan cerita dan bagaimanakah peranannya yang sedikit itu membantu dalam filem tersebut.

“Bagi pandangan saya, penampilan saya dalam filem itu setidak-tidaknya dapat menguatkan jalan cerita apabila misteri rumah itu terungkai, bagaimanapun menurut saya, dalam filem yang akan datang, perlu dipertingkatkan lagi dan mengenal pasti apa jua kelemahan daripada filem yang pertama ini,” katanya.

Menurutnya lagi, pergerakan cerita boleh mengangkat sebuah naskhah filem itu sendiri, kerana skop filem itu amat luas, selain pengarah juga harus peka tentang lakonan, kerana ia amat penting.

“Tentang apa pun bahasa yang dibawakan di dalam sesebuah filem tidak menjadi masalah, tetapi lakonan itu adalah yang utama, yang memberikan kesan kepada sesebuah filem yang dihasilkan, dan saya berharap filem Brunei akan terus berjalan maju pada masa-masa akan datang,” ujarnya.

Sementara itu, beberapa orang penonton yang sempat ditemui, melahirkan rasa bangga kerana produksi tanah air berjaya menghasilkan sebuah filem misteri yang cukup menyeramkan, sehingga mereka terpaksa menutup muka kerana rasa seram melihat penampilan makhluk misteri dalam filem tersebut.

“Kami menyokong filem Brunei, dan kami berharap akan lebih banyak lagi filem-filem Brunei dihasilkan dan dipasarkan di negara ini, dan berharap lebih ramai penampilan artis-artis tempatan yang berbakat dan mampu mengangkat filem Melayu tanah air,” kata mereka.

ARTIKEL YANG SAMA