Waris mahu tahu siapa tembak MH17

Waris mahu tahu siapa tembak MH17

IPOH, 12 Julai – Lima hari lagi, genaplah dua tahun nahas membabitkan pesawat Malaysia Airlines (MAS) penerbangan MH17 yang meragut nyawa semua 298 penumpang dan anak kapal.

Namun sehingga kini waris mangsa masih tertanya-tanya siapa yang bertanggungjawab selepas Lembaga Keselamatan Belanda dalam laporan akhir yang dibentang Oktober lepas mengesahkan pesawat itu ditembak jatuh dengan peluru berpandu di timur Ukraine pada 17 Julai 2014.

Bagi Noor Aini Mohd Noor, 60, beliau ingin tahu siapa yang menembak pesawat itu sehingga mengorbankan kakaknya Noor Rahimmah yang ingin meraikan Aidilfitri di kampung halaman di sini buat kali pertama dalam tempoh 35 tahun.

“Apa yang saya mahukan daripada MAS adalah kepastian, siapa penyebab dan siapa dalang yang terlibat. Kami boleh terima takdir dia pergi tapi sebolehnya kami mahukan jawapan muktamad yang tepat dan kukuh,” katanya ketika ditemui Bernama baru-baru ini.

Noor Rahimmah merupakan seorang daripada 43 rakyat Malaysia yang terkorban dalam nahas itu dan pernah bertugas sebagai setiausaha di Kedutaan Malaysia di Jerman selain penterjemah di Geneva, Switzerland.

Lima hari lagi 17 Julai genaplah dua tahun pesawat malang MH17 ditembak jatuh pengganas Ukraine yang mengorbankan kesemua 298 penumpang dan anak kapal. - Bernama
Lima hari lagi 17 Julai genaplah dua tahun pesawat malang MH17 ditembak jatuh pengganas Ukraine yang mengorbankan kesemua 298 penumpang dan anak kapal. – Bernama

Menurut Noor Aini, beberapa hari lepas beliau mendapat emel daripada MAS yang kini dikenali sebagai Malaysia Airlines Bhd (MAB) menyatakan syarikat penerbangan itu belum mempunyai kesimpulan mengenai pihak bertanggungjawab.

“Apa yang saya buat hanyalah baca sambil berharap akan ada jawapan satu hari nanti,” katanya.

Beliau bagaimanapun berterima kasih kepada kerajaan Malaysia kerana membantu urusan membawa balik jenazah kakaknya dan rakyat Malaysia yang lain ke tanah air.

Menurut Noor Aini, permintaan terakhir Allahyarham Noor Rahimmah yang merupakan anak kedua daripada 14 adik-beradik masih terngiang-ngiang di telinganya kerana masing-masing teruja untuk berkumpul beramai-ramai.

“Setiap minggu arwah akan telefon tanya perkembangan adik-adiknya kerana kami sudah tiada ibu dan ayah, jadi dialah yang menggantikan tempat orang tua kami.

“Sebelum naik pesawat, arwah ada hubungi kami suruh tunggu dia balik untuk berkumpul ramai-ramai, memang kenangan itu kalau diingat amat perit kerana tidak menyangka dia pulang dalam keadaan begitu,” katanya dalam nada sebak.

Sementara itu, adik bongsu mangsa Norlin, 49, berkata kenangan bersama arwah akan sentiasa dikenang dan diingati kerana sifat penyayang dan merendah diri arwah sukar dicari ganti.

“Saya dengan arwah sangat rapat sebab saya adik bongsu, jadi memang manja dengan dia…bila dia dah tak ada ini memang terasa sangat.

“Harapan saya tetap nak tahu angkara siapa yang menyebabkan nahas itu, saya pasti bukan keluarga saya sahaja mahukan jawapan itu tapi semua keluarga yang terlibat pasti inginkan jawapan dan keadilan,” katanya. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA