Wartawan digantung tugas kerana silap tipografi

Wartawan digantung tugas kerana silap tipografi

BEIJING, 6 Dis – Empat kakitangan agensi berita China telah digantung tugas kerana melakukan kesilapan tipografi menyatakan bahawa Presiden Xi Jinping sudah meletak jawatan, demikian menurut laporan yang disiarkan hari ini.

Dua orang wartawan daripada jabatan Afrika Selatan dan dua editor di Perkhidmatan Berita China dihukum kerana satu artikel yang ditulis tidak betul mengenai ucapan Xi pada sidang kemuncak China-Afrika di Johannesburg.

Perkataan China untuk “ucapan” diganti dengan “peletakan jawatan,” kata Pusat Maklumat untuk Hak Asasi Manusia dan Demokrasi hari ini.

Kira-kira 20 media menyiarkan laporan itu semalam sehingga satu pembetulan muncul kira-kira satu jam 20 minit kemudian, kata kumpulan penyokong yang berpangkalan di Hong Kong itu.

Walaupun hurufnya berlainan, perkataan untuk “ucapan” dalam huruf pinyin China adalah “zhici” – di mana “peletakan jawatan” adalah “cizhi.”

Pemproses perkataan menukar pinyin kepada huruf China.

Kesilapan itu berlaku dua hari selepas agensi berita Xinhua tersalah mengeja nama Presiden Amerika Syarikat Barack Obama dalam satu laporan mengenai pertemuan beliau dengan Xi, lapor akhbar South China Morning Post di Hong Kong hari ini. – dpa

ARTIKEL YANG SAMA