Wartawan Kanada reka laporan

Wartawan Kanada reka laporan

MONTREAL, 24 Mei (AFP) – Seorang wartawan terkenal digantung daripada beberapa peranan semalam dalam media berbahasa Perancis di Kanada, selepas dakwaan bahawa dia telah mereka-reka dan membunga-bungai laporannya tentang zon konflik dalam tempoh 20 tahun.

Groupe Media yang memiliki rangkaian televisyen TVA, berkata ia mengeluarkan wartawan asing Francois Bugingo, 41 tahun daripada rancangan selepas dakwaan timbul awal semalam.

Dalam edisi Sabtunya akhbar La Presses menyiarkan penyiasatan terperinci ke atas laporan Bugingo di Bosnia, Libya dan Somalia, dengan mengatakan laporan itu telah direka-reka.

Menurut La Presse, Bugingo, kelahiran Congo, mengakui dalam temu bual baru-baru ini bahawa dia tidak pernah pergi ke Misrata di Libya, yang bercanggah dengan laporan yang telah dibuatnya.

TVA berkata ia mengambil serius dakwaan itu dan telah menggantung Bugingo sementara ia meneliti dakwaan tersebut.

Bugingo adalah penyumbang kepada TVA dan ‘bukan kakitangan Groupe Media’, ia menekankan dalam satu kenyataan.

Syarikat media, Cogeco juga menggantung Bugingo, yang terlibat dalam satu rancangan tentang politik antarabangsa di radio FM 98.5 yang bangga dengan bilangan terbaik pendengar di Quebec.

Le Journal de Montreal dan Le Journal de Quebec, yang mana dia juga pernah menjadi wartawan sambilan, juga menggantung Bugingo. Di ruang halamannya di Facebook, Bugingo berkata dia ‘terkejut’ dengan pendedahan dalam Le Presse dan menegaskan bahawa maklumat yang dilaporkannya ‘sentiasa telah ditentu sahkan dan kukuh’.

Persekutuan Profesional Wartawan Quebec (FPJQ) yang mana Bugingo adalah anggotanya, berkata dakwaan ke atas Bugingo mungkin mencemarkan kredibiliti profesion wartawan.”

FPJQ menambah kata ia telah menjemput wartawan itu untuk sendiri memberi penjelasan.