Wartawan Korea lawat KKBS

Wartawan Korea lawat KKBS

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 Sept – Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), hari ini, telah menerima kunjungan daripada rombongan sembilan wartawan (atas) dari beberapa agensi media Republik Korea (ROK) yang berada di negara ini selama empat hari sebagai sebahagian daripada Program Pertukaran Lawatan Media ROK ke ASEAN.

Rombongan terdiri daripada wakil agensi media Voice of People, BBS, Kukmin Daily, JTBC, MBN, PBC, Hankook Daily, Segye Daily dan MOFA.

Semasa lawatan itu, rombongan terdahulu mendengar ucapan alu-aluan daripada Pengarah Pentadbiran dan Kewangan, KKBS, Haji Ahmad Baihaki bin POKDG Haji Mohd Taha yang antara lain menyatakan harapan agar lawatan berkenaan akan dapat mengeratkan hubungan kebudayaan serta meningkatkan persefahaman di antara kedua-dua negara.

Rombongan tiba di negara ini pada 6 September lalu di mana mereka telah mengadakan kunjungan hormat ke Jabatan Penerangan kelmarin, disusuli lawatan ke Radio Televisyen Brunei, Kementerian Perindustrian dan Sumber-sumber Utama dan majlis makan malam anjuran Setiausaha Tetap (Media dan Kabinet) di Jabatan Perdana Menteri, Haji Mohd Rozan bin Dato Paduka Haji Mohd Yunos, malam tadi.

Selain itu, rombongan juga akan dibawa melawat ke Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan, salah sebuah agensi swasta dan Tamu Kianggeh sebelum meninggalkan negara ini untuk berlepas ke Filipina pada 9 September.

pg05_150909_b

ARTIKEL YANG SAMA