Wartawan Palestin akhiri mogok lapar dalam penjara

Wartawan Palestin akhiri mogok lapar dalam penjara

BAITULMAQDIS, 26 Feb (AFP) – Seorang wartawan Palestin yang berada dalam penjara Israel tanpa perbicaraan, Mohammed al-Qiq, bersetuju hari ini untuk menghentikan mogok lapar 94 harinya di bawah perjanjian pembebasannya pada Mei, menurut satu pengumuman NGO.

“Satu persetujuan telah dicapai di mana penahanan pentadbirannya akan berakhir pada 21 Mei dan tidak akan diperbaharui,” menurut Kelab Banduan Palestin, merujuk kepada pemenjaraan Qiq tanpa perbicaraan.

Pihak berkuasa Israel dihubungi oleh AFP tidak segera mengesahkan atau menafikan perjanjian itu.

Wartawan televisyen berusia 33 tahun itu memulakan puasanya pada 25 November dalam bantahan ke atas “penyeksaan dan layanan buruk yang tertakluk kepadanya ketika soal siasat,” menurut Addameer, pertubuhan hak asasi Palestin.

Wartawan Palestin yang dalam tahanan Israel mengakhiri mogok laparnya. – AFP
Wartawan Palestin yang dalam tahanan Israel mengakhiri mogok laparnya. – AFP

Qiq hanya beberapa kali mengambil mineral dan vitamin namun kebanyakannya hanya menelan air paip, kata doktor-doktor yang melawatnya di hospital di bandar utara Israel, Afula.

Mahkamah Agung secara rasminya menggantung perintah pengurungan itu terhadap Qiq pada 4 Februari, namun mengenggankan permintaannya untuk pemindahan ke sebuah hospital di bandar Tebing Barat, Ramallah, yang di bawah bidang kuasa kekuasaan Palestin.

Pihak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah meluahkan kebimbangannya mengenai nasibnya dan Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah menggambarkan keadaannya sebagai kritikal.