Wartawan Perancis dipaksa tinggalkan China

Wartawan Perancis dipaksa tinggalkan China

BEIJING, 31 Dis (AFP) – Seorang wartawan Perancis yang dipaksa meninggalkan China selepas beliau dituduh menyokong keganasan kerana mengkritik dasar kerajaan di rantau Xinjiang, sedang bersiap sedia untuk meninggalkan negara itu hari ini.

Beijing enggan memperbaharui dokumen Ursula Gauthier, wartawan China untuk majalah berita Perancis L’Obs, selepas beliau menulis satu artikel yang menyoal perbandingan di antara keganasan global dan pergolakan di tanah air penduduk minoriti etnik Uighur.

Gauthier mempunyai ‘perasaan di luar alam nyata’ pada hari terakhirnya di Beijing, beritahunya kepada AFP tatkala beliau membuat persiapan akhir dan melengkapkan satu artikel sebelum bertolak ke lapangan terbang untuk penerbangan lewat malam sebelum visanya luput.

‘Segala yang berlaku adalah amat cepat dan pelik,’ tambah beliau.

Dalam artikelnya untuk L’Obs, Gauthier menyoal motif China dalam menyatakan simpati terhadap mangsa serangan Paris pada 13 November, menulis mereka dirancang untuk menggabungkan dasar keras Beijing di Xinjiang dalam perjuangan menentang keganasan global.

Wartawan veteran itu, yang telah menghabiskan bertahun-tahun lamanya di China, mencadangkan keganasan oleh penduduk Uighur ke atas penduduk awam di mana pertempuran telah membunuh beratus-ratus orang dalam beberapa tahun ini, sebahagiannya adalah didorong oleh perasaan benci terhadap dasar kerajaan.

‘Saya tidak menulis bahawa saya menyokong keganasan, saya tidak pernah menyokong keganasan dalam artikel saya,’beritahunya kepada AFP sebelum ini.

‘Saya hanya menjelaskan bahawa kemarahan penduduk Uighur datang dari satu tempat, sama seperti kami boleh menjelaskan asal usul kemarahan penduduk muda Arab yang menjadi radikal, terdapat akar-umbi,’ tambah beliau.

Gauthier menganggap layanannya sebagai satu percubaan untuk ‘menakut-nakutkan wartawan asing di China, terutamanya mengenai isu yang membabitkan golongan minoriti, terutamanya di Tibet dan Xinjiang.’

Media dan pegawai China mengkritik artikel beliau, dengan akhbar Global Times berkata ia ‘memutar belit realiti di Xinjiang’ dan melambangkan ‘dwistandard’ mengenai keganasan.

Wartawan itu berkata alamat rumahnya disiar di Internet bersama ugutan maut daripada pembaca yang marah.

Kementerian luar negeri China berkata beliau ‘mempelopori perbuatan keganasan, sekali gus membangkitkan kemarahan penduduk China.’

Visa wartawan asing di China dikaitkan dengan dokumen kelayakan mereka, dan keengganan kementerian untuk memperbaharui kad media beliau bermakna haknya untuk tinggal di dalam negara akan luput tempohnya pada 31 Disember.

Keputusan untuk menyingkir Gauthier telah dikritik oleh kumpulan kebebasan berakhbar seperti wartawan tanpa batasan.

ARTIKEL YANG SAMA