Wasatiah fokus Majlis Ilmu

Wasatiah fokus Majlis Ilmu

Oleh Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 Nov – Majlis Ilmu 2015 akan memfokuskan tema ‘Wasatiah Asas Kesejahteraan Sejagat’ bagi memberi gambaran sebenar tentang Islam sebagai agama ‘Wasatiah’ yang dapat meningkatkan kualiti kehidupan rakyat dan penduduk di Negara Brunei Darussalam.

Setiausaha Tetap di Kementerian Hal Ehwal Ugama, Dato Seri Setia Haji Abdul Aziz bin Orang Kaya Maharaja Lela Haji Mohammad Yusof berkata, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dijadual berangkat merasmikan Majlis Ilmu 2015 Isnin ini (9 Nov) di Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas.

Ia merupakan salah satu acara keramaian sempena Sambutan Hari Keputeraan Baginda Sultan ke 69 tahun.

Bercakap pada sidang media di sini hari ini, Dato Seri Setia Haji Abdul Aziz berkata, Majlis Ilmu 2015 adalah satu wadah pengisian pada tahun ini, membincangkan tajuk berkenaan yang dibentangkan dan ditafsir oleh para pakar dari dalam dan luar negeri.

Ia menjadi mercu tanda kepimpinan intelektualisme Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sebagai wadah menghidangkan ilmu dan maklumat yang berguna kepada rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam.

Dato Seri Setia Haji Abdul Aziz semasa bercakap pada sidang media mengenai Majlis Ilmu 2015 kelmarin.
Dato Seri Setia Haji Abdul Aziz semasa bercakap pada sidang media mengenai Majlis Ilmu 2015 kelmarin.

Katanya, antara yang difokus sepanjang Majlis Ilmu berlangsung ialah untuk memenuhi tuntutan kehidupan dunia dan akhirat yang seimbang dan adil tanpa mengabaikan salah satu daripada keduanya, umat manusia sejagat.

Majlis ilmu ini dihasratkan dapat memberikan gambaran sebenar wasatiah yang tersirat di dalam Islam serta membetulkan tanggapan negatif terhadap ketelusan Islam yang mengamalkan prinsip wasatiah dalam kehidupan.

Ceramah perdana akan diadakan pada 12 November 2015 yang akan menjunjung keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha.

Manakala Forum Perdana akan diadakan pada 14 November 2015 yang akan menjunjung Keberangkatan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri.

Sementara itu pembentangan Kertas Perdana dengan tajuk ‘Wasatiah Asas Kesejahteraan Sejagat’ akan disampaikan oleh, Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Dr. Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned.

Kertas kerja seminar pula akan dibentangkan oleh para tokoh, pakar dan ahli akademik dari dalam dan luar negara dengan kerjasama Rabitah Al-Alam Al-Islami yang berpusat di Arab Saudi. Dato Seri Setia Haji Abdul Aziz berkata, Majlis Ilmu 2015 menyasar kepada warga perkhidmatan awam, persatuan-persatuan bukan kerajaan dalam dan luar negara dan mahasiswa-mahasiswi dan penuntut sekolah menengah dan rendah.

Di sepanjang Majlis Ilmu itu nanti, pameran juga akan memeriahkan lagi Majlis Ilmu 2015 yang memberi pencerahan tentang ‘Wasatiah’ dari perspektif Islam yang antara lain akan mengetengahkan aspek akidah dan pemikiran, pentadbiran, perhubungan, perundangan, perindustrian, perekonomian, kesihatan dan perubatan, kewangan dan perbankan dan banyak lagi.

Bahan-bahan pengi1sian pameran ialah pameran mengenai perkembangan penulisan Al-Quran, bahan-bahan pameran berunsurkan dan berciri wasatiah yang tersirat di dalam Islam dalam bidang-bidang kehidupan tertentu dengan mengimbangi tuntutan dunia dan akhirat. Dan bidang-bidang yang dicadangkan itu antaranya Akidah dan Pemikiran, Sosial Kemasyarakatan dan banyak lagi.

ARTIKEL YANG SAMA