Waspada agensi pekerjaan

Waspada agensi pekerjaan

Oleh Anwar Rosly

 

KUALA BELAIT, 13 Mac – Agensi-agensi pekerjaan tempatan di Brunei dinasihatkan supaya meningkatkan kewaspadaan tatkala membuat penilaian sebarang keputusan apabila berurusan dengan agensi pekerjaan asing terutamanya dengan ‘agensi-agensi pekerjaan’ dari Indonesia.

Konsular Seksyen bagi Kedutaan Indonesia di Negara Brunei Darussalam, Bramantya Dewabrata (gambar) memberikan nasihat ini ketika menjawab persoalan Media Permata mengenai aduan daripada beberapa buah agensi pekerjaan tempatan di sini apabila berdepan dengan isu-isu yang berkaitan dengan pengambilan pekerja-pekerja asing seperti pembantu rumah.

“Mana-mana syarikat agensi tempatan di sini perlu menghubungi kedutaan Brunei di Indonesia, yang mempunyai senarai agensi pekerjaan yang berdaftar di Indonesia, sebelum bersetuju untuk menjalankan urusan,” jelasnya.

Manakala itu, wakil beberapa buah agensi pekerjaan tempatan di Daerah Belait yang ditemui semasa sesi konsultasi (perundingan) bersama pekerja warga Indonesia di negara ini yang berlangsung di Hotel Riviera, turut menceritakan pengalaman mereka merasa tertipu apabila membuat pembayaran atau yuran pendahuluan (advance fee) kepada agensi pekerjaan di Indonesia tetapi pembantu rumah itu gagal tiba di Brunei.

Selain itu, kos struktur yang tidak tetap dan tidak menentu di antara agensi pekerjaan di Brunei dan agensi pekerjaan di Indonesia dalam pembayaran bagi pengambilan pembantu rumah juga mendatangkan kekecewaan kepada agensi-agensi pekerjaan tempatan di sini.

pg01_160314_a

Justeru itu, Media Permata bertemu dengan kakitangan dari Kedutaan Indonesia di sini untuk mendapatkan penjelasan selanjutnya mengenai perkara tersebut dan mengenai isu-isu lain yang berkaitan.

Menurut Ahmad Syahri, Teknikal Buruh bagi Kedutaan Indonesia berkata kerajaan Indonesia mempunyai peraturan yang kini mengehadkan struktur maksimum kos untuk pengambilan pembantu rumah, yang termasuk latihan, tiket penerbangan dan pemprosesan dokumen, pada kadar harga $1,200 untuk Negara Brunei Darussalam.

“Ini bermakna, jika terdapat mana-mana agensi pekerjaan di Indonesia yang menetapkan harga tinggi melebihi harga yang telah ditetapkan, terdapat kemungkinan bahawa agensi itu tidak didaftarkan dengan betul dan tidak mempunyai lesen yang betul untuk menjalankan perniagaan tersebut,” ujarnya lagi.

Oleh sebab isu tersebut, ada di antara agensi-agensi pekerjaan di sini akan menahan yuran pendahuluan, dan cuma membayarnya setelah pembantu rumah tersebut tiba di Brunei dan lulus ujian perubatan mereka di negara ini.

Walau bagaimana pun, Bramantya menjelaskan dalam hal sebegini, jika rundingan itu dibuat bersama agensi pekerjaan yang sah berdaftar di Indonesia, mereka (agensi pekerjaan di Indonesia) tidak boleh mengenakan bayaran yang melebihi $2,000.

Jika mereka adalah agensi yang sah, pembantu rumah itu pasti akan tiba (seperti yang dipersetujui), atau mereka akan membayar balik wang (refund).

“Mereka secara undang-undang diwajibkan untuk berbuat sedemikian,” tekan beliau lagi.

Dalam usaha untuk mengelakkan isu-isu sebegini, Kedutaan Indonesia telah menggesa agensi-agensi tempatan untuk menilai serta meneliti dalam pemilihan mereka dan hanya menjalankan urusan dengan agensi yang sah berdaftar di Indonesia.

Dalam memastikan bahawa isu-isu seperti ini dapat dibawa ke meja perundingan, pihak Kedutaan Indonesia di Brunei Darussalam mengharapkan perbincangan dua hala dalam kerjasama tenaga kerja di antara kedua-dua negara dijangka akan diadakan, tetapi belum disahkan, dalam beberapa bulan akan datang.