Waspada bermain Pokemon Go

Waspada bermain Pokemon Go

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Ogos – Berikutan semakin popularnya permainan alam maya dan realiti Pokemon Go di negara ini, Pasukan Polis Diraja Brunei telah mengeluarkan langkah-langkah keselamatan jenayah dan lalu lintas berhubung permainan berkenaan.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan pihak Polis Diraja Brunei di sini hari ini, orang ramai dinasihatkan untuk tidak menceroboh mana-mana kawasan rumah persendirian, premis perniagaan, bangunan-bangunan kerajaan terutama kawasan-kawasan larangan yang mana jika sabit kesalahan boleh didakwa di bawah Seksyen 447 Akta Kanun Hukuman Jenayah Penggal 22 dan penjara selama setahun bersama denda.

Para pengguna juga dilarang bermain di jalan raya, semasa memandu dan sentiasa mematuhi peraturan jalan raya yang mana jika sabit kesalahan boleh didakwa di bawah Seksyen 29 (A) Akta Lalu lintas Penggal 68 dan didenda tidak melebihi $1,000 dan penjara enam bulan.

Gambar fail: Salah seorang pemain Pokemon Go menunjukkan aplikasi itu di telefon pintarnya.
Gambar fail: Salah seorang pemain Pokemon Go menunjukkan aplikasi itu di telefon pintarnya.

Di samping itu, pemain juga dinasihatkan untuk tidak mendedahkan sebarang maklumat diri dan keberadaan, memastikan tidak berseorangan, tidak leka atau lalai sehingga menyebabkan kehilangan barangan berharga, memerhatikan kiri kanan jalan apabila melintas jalan raya dan menghormati hak individu, kerajaan dan persendirian. Pokemon GO merupakan permainan realiti berperantara berasaskan lokasi yang dilancarkan pada 6 Julai lepas dan memasuki pasaran Brunei dan lebih 30 negara lain bermula 6 Ogos.

Sehubungan itu, orang ramai yang mendapati sebarang aktiviti atau orang yang mencurigakan di kawasan mereka dinasihatkan untuk membuat laporan segera ke balai-balai polis berdekatan atau menghubungi talian 993.

ARTIKEL YANG SAMA