Waspada dengan pelaburan pulangan tinggi

Waspada dengan pelaburan pulangan tinggi

Oleh Anwar Rosly

 

KUALA BELAIT, 30 Okt – Orang ramai terutamanya generasi muda di negara ini disarankan supaya berwaspada dengan pelbagai jenis pelaburan yang menawarkan pulangan tinggi dengan risiko rendah.

Lebih penting lagi, mereka juga dinasihatkan supaya mendapatkan khidmat nasihat terlebih dahulu daripada pakar kewangan atau pun meningkatkan ilmu pengetahuan dan latar belakang mereka sendiri dalam bidang kewangan sebelum melangkah masuk ke dunia pelaburan.

Seorang penasihat kewangan dan pakar pelaburan yang berpangkalan di Singapura, Puah Soon Lim berkata, kebanyakan pelaburan yang ditawarkan menjanjikan pulangan yang tinggi dengan risiko yang rendah, yang menurutnya “tidak normal” atau tidak mengikuti piawaian sistem pelaburan yang sebenar dan sepatutnya.

“Bidang pelaburan sememangnya menarik dan telah banyak menarik perhatian ramai generasi muda yang sedar akan betapa pentingnya membuat pelaburan bagi masa depan yang cerah, jadi bagi sesiapa pun yang ingin menerokai bidang pelaburan ini haruslah membuat penyelidikan mendalam terlebih dahulu dan jangan mudah percaya dan mengambil kata manis segelintir pihak yang menjanjikan kekayaan dalam masa singkat,” jelasnya semasa ditemui selepas seminar mengenai pelaburan anjuran Baiduri Capital, baru-baru ini.

Puah Soon Lim ketika ditemu bual oleh wartawan Media Permata.
Puah Soon Lim ketika ditemu bual oleh wartawan Media Permata.

Menurut beliau lagi, meningkatkan ilmu pendidikan asas dalam bidang pelaburan akan menjimatkan wang serta masa orang ramai daripada terpedaya dengan mana-mana skim cepat kaya dan mereka akan lebih berwaspada serta mengelakkan diri daripada mengikuti aktiviti haram tersebut.

“Mempunyai latar belakang dalam bidang perakaunan sangat berguna dan akan membawa faedah besar kepada mereka yang benar-benar mahu belajar untuk melabur dan ia tidak terhad kepada orang-orang perniagaan sahaja, malah ia merupakan salah satu ciri yang penting bagi mana-mana pelabur.”

Puah juga menambah, pelabur tidak semestinya perlu mendapatkan ijazah dalam perakaunan,cukup hanya mempunyai pemahaman asas mengenai syarat-syarat dan konsep dalam bidang perakaunan.

Dari sana mereka akan dapat mempraktikkan segala pengetahuan mereka dalam menilai saham dan pelaburan tertentu dengan mudah.

Selain daripada ilmu pendidikan asas yang tertentu, pelabur juga mesti mempunyai tahap kesabaran yang tinggi dan ketekunan dalam membuat penilaian, tambah beliau.

ARTIKEL YANG SAMA