Waspada di Lebuh raya Telisai-Lumut

Waspada di Lebuh raya Telisai-Lumut

BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Julai – Pengguna jalan raya terutamanya di Lebuh raya Telisai-Lumut yang baru siap, dinasihatkan untuk lebih berwaspada dan berhati-hati semasa musim hujan kebelakangan ini, susulan kes kemalangan termasuk satu yang membawa maut baru-baru ini.

Peringatan itu dibuat oleh Majlis Kebangsaan Keselamatan Jalan Raya (MKKJR) dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini. Menurut MKKJR lagi, berdasarkan penelitian, terdapat sebilangan para pemandu yang masih memandu melebih had laju lebuh raya berkenaan sehingga mencecah 150kmsj dan ada juga yang berlumba-lumba.

MKKJR mengingatkan pemandu untuk mengurangkan had laju kepada 70kmsj ke bawah terutama sekali apabila memandu dalam musim hujan dan keadaan jalan raya yang basah.

Menurut kenyataan itu lagi, berdasarkan statistik yang diterima sehingga 26 Julai 2016, sebanyak 20 kes kemalangan berlaku sepanjang lebuh raya itu semenjak ia dibuka penghujung Jun lalu. Daripada jumlah itu, sebanyak 12 kes merupakan kemalangan yang berlaku semasa hujan atau dalam keadaan jalan raya basah.

Penelitian MKKJR juga menunjukkan perkaitan pemandu memandu melebih had laju dalam keadaan-keadaan tersebut dan keadaan kenderaan yang tidak diselenggarakan dengan baik bagi memastikan ke-selamatan jalan raya.

Menurut kenyataan itu lagi, kemungkinan kemalangan meningkat adalah lebih besar dalam keadaan hujan dan jalan raya licin bukan sahaja bagi Lebuh raya Telisai-Lumut malahan di kesemua jalan raya di negara ini.

Untuk itu, MKKJR menasihatkan pemandu lebih beretika, berhemat, bertolak ansur dan berhati-hati serta mengamalkan doa sebelum perjalanan bagi memastikan penggunaan jalan raya yang selamat dan terjamin di negara itu. Di samping itu, adalah penting untuk memastikan kenderaan secara keseluruhan tidak diubahsuai dan dalam keadaan baik termasuk tayar yang masih baik bunganya dan berkualiti tinggi.

Menurutnya, ia juga akan melaksanakan pemeriksaan teknikal dan melakukan penambahbaikan, di kawasan cenderung kemalangan di lebuh raya itu, beberapa lagi lokasi lain di sana dan jalan raya-jalan raya lain dalam masa terdekat ini.

Langkah-langkah ini akan dilakukan bersama dengan agensi-agensi berkenaan dalam tindakan bersesuaian khususnya sebelum mana-mana jalan raya dibuka kepada orang ramai. Perbincangan di peringkat MKKJR bagi pemasangan ‘speed camera’ di lokasi terpilih juga akan dipergiatkan manakala pemasangan papan tanda amaran dan nasihat akan dipercepatkan.

ARTIKEL YANG SAMA