Waspada di musim cuti sekolah

Waspada di musim cuti sekolah

BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Nov – Dengan bermulanya musim cuti persekolahan ketiga 2015 yang bermula esok hingga 31 Disember ini, Pasukan Polis Diraja Brunei (PDB) mengeluarkan peringatan kepada orang ramai supaya berwaspada dan mengambil langkah-langkah keselamatan terutamanya semasa hendak meninggalkan rumah.

Pemangku Ketua Perhubungan Awam PDB, ASP Haji Mohamad Noor bin Haji Abdul Rahman dalam satu kenyataan hari ini menasihatkan orang ramai supaya memaklumkan balai-balai polis atau pos polis yang berdekatan tentang tarikh pemergian bagi bertujuan pemantauan dan rondaan semasa rumah mereka ditinggalkan.

Penghulu dan ketua kampung juga hendaklah dimaklumkan bagi sama-sama mematai dan mengelakkan kejadian pecah rumah berlaku di rumah yang tidak berpenghuni.

Pagar, pintu dan jendela rumah sentiasa dipastikan tertutup dan berkunci dengan kunci yang kukuh. Jangan membiarkan barang-barang berharga ditinggalkan di luar kawasan rumah yang boleh menjadi daya tarikan kepada penjenayah.

Segala wang, barang kemas dan barang-barang bernilai hendaklah disimpan di tempat-tempat yang difikirkan selamat dan mudah diketahui.

Bagi mereka yang berhasrat hendak keluar negara, dinasihatkan supaya memaklumkan kepada keluarga terdekat atau jiran yang berhampiran untuk memata-matai rumah dan sekitar kawasan luar rumah.

Lampu di luar rumah seboleh-bolehnya hendaklah dinyalakan pada waktu malam terutamanya di tempat-tempat yang senang dilihat.

Ibu bapa dan penjaga kanak-kanak perlu sentiasa memantau pergerakan anak-anak mereka dan jangan membiarkan anak-anak mereka balik lewat malam dan memastikan mereka tidak berkumpul di kawasan-kawasan awam atau lepak sepanjang malam serta terlibat dengan aktiviti jenayah dan aktiviti sosial yang tidak sihat.

Aktiviti kanak-kanak hendaklah sentiasa diambil perhatian yang tegas dan diikuti dari semasa ke semasa terutama bagi mereka yang selalu melayari Internet kerana dikhuatiri akan melayari laman-laman sesawang yang berunsur negatif yang akan melibatkan mereka kepada aktiviti kurang sihat dan masalah sosial.

Jika terdapat apa-apa juga perkara yang dilihat mencurigakan, orang ramai diseru untuk memaklumkan dengan segera kepada pihak polis atau pihak-pihak berkenaan seperti penghulu atau ketua kampung di mana tindakan seterusnya dapat ditangani oleh pihak berkenaan.

Hendaklah memastikan, semasa meninggalkan kereta untuk ke kedai atau meninggalkan kereta untuk seketika supaya akan memastikan enjin kereta dimatikan dan dikunci bagi mengelakkan kereta dicuri semasa meninggalkan kereta tersebut.

Pasukan Polis Diraja Brunei menggesa orang ramai supaya akan melaporkan dengan segera kepada talian kecemasan 993 atau menghubungi balai-balai polis yang berdekatan.

Maklumat yang diberikan akan membantu pihak polis dalam menangani jenayah yang mungkin akan berlaku terhadap keluarga mereka, jiran dan orang lain.

ARTIKEL YANG SAMA