Waspada hujan lebat, ribut petir

Waspada hujan lebat, ribut petir

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 Nov – Orang ramai, para pemandu dan pelaut adalah dinasihatkan supaya mengambil langkah berjaga-jaga semasa kejadian hujan lebat dan ribut petir, semata-mata untuk menjaga keselamatan dan mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku.

Pemangku Pengarah Kaji Cuaca, Jabatan Kaji Cuaca Brunei Darussalam, Awang Muhd Husaini bin Aji ketika menasihatkan demikian berkata, Negara Brunei Darussalam masih berada dalam Musim Peralihan Kedua, di mana aliran angin dari arah Timur terus mendominasi di paras permukaan dan paras atas atmosfera.

Pada lazimnya aktiviti hujan dan ribut petir meningkat pada Musim Peralihan. Sebahagian besar sistem cuaca negara kita pada musim ini dikaitkan dengan ‘diurnal forcing,’ di mana angin laut memainkan peranan penting dalam menghasilkan sel-sel awan ribut petir yang aktif di kawasan pedalaman pada waktu petang, sebelum bergerak ke kawasan pesisiran pantai dan laut negara pada waktu malam.

“Kami akan terus memantau keadaan cuaca dari semasa ke semasa dan akan mengeluarkan nasihat atau amaran cuaca apabila situasi memerlukan, mengikut Prosedur Operasi Standard Jabatan. Untuk mendapatkan maklumat cuaca terkini, orang ramai bolehlah menghubungi Pegawai Peramal Kaji Cuaca yang bertugas di Pusat Ramalan melalui Talian Cuaca 114, atau melayari Iaman sesawang www.met.gov.bn atau mengikuti Iaman Facebook (Brunei Darussalam Meteorological Department) dan aplikasi bimbit Brunei WX,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

ARTIKEL YANG SAMA