Waspada pelaburan palsu

Waspada pelaburan palsu

pg01_150613_a

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 Jun – Orang ramai di negara ini dinasihatkan berwaspada dan tidak terlibat dengan skim UFun yang mencetuskan kontroversi di beberapa negara jiran baru-baru ini.

Autoriti Monetari Brunei Darussalam (AMBD) dalam satu kenyataan hari ini berkata, di Thailand, serbuan dan tangkapan ke atas pegawai-pegawai eksekutif UFun di Thailand baru-baru ini atas tuduhan menjalankan skim piramid dan pembersihan wang haram telah dilaporkan. Di Malaysia, UFun telah disenaraikan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) sebagai syarikat yang tidak diberikan kebenaran atau kelulusan oleh BNM dalam memberikan perkhidmatan kewangan atau menjual produk kewangan.

Sehubungan itu AMBD ingin menasihatkan orang ramai supaya hanya berurusan dengan individu atau institusi yang dilesenkan oleh AMBD dalam mendapatkan perkhidmatan atau produk kewangan.

Dalam satu kenyataan berasingan AMBD berkata, ia juga telah menerima maklumat berkenaan dengan beberapa individu dan syarikat-syarikat yang telah menyatakan secara palsu bahawa AMBD menyokong atau membenarkan tawaran produk kewangan mereka melalui media sosial.

AMBD menasihatkan orang ramai untuk terlebih dahulu memastikan mana-mana individu atau syarikat yang memberikan atau menawarkan perkhidmatan kewangan atau produk kewangan, adalah dilesenkan oleh AMBD sebelum membuat sebarang urus niaga dengan mereka.

Senarai individu atau institusi yang dilesenkan oleh AMBD boleh didapati melalui laman web AMBD http://www.ambd.gov.bn/regulatory/financial-institutions-directory; atau daripada risalah bercetak senarai institusi-institusi yang dilesenkan di kaunter-kaunter AMBD; atau AMBD App yang boleh dimuat turun melalui ‘App Store’ bagi pengguna iPhone dan ‘Google Playstore’ bagi pengguna Android secara percuma.

Sebarang pertanyaan atau maklumat lanjut, boleh menghubungi pihak AMBD di talian 2388388 atau emel info@ambd.gov.bn.

ARTIKEL YANG SAMA