Waspada peminjaman wang haram – BNM

KUALA LUMPUR, 6 Dis – Bank Negara Malaysia (BNM) meminta orang ramai supaya berwaspada terhadap individu atau syarikat yang menjalankan aktiviti pemberian pinjaman wang haram menggunakan lesen palsu yang kononnya dikeluarkan oleh bank pusat itu.

Dalam satu kenyataan hari ini, BNM berkata pihak yang terlibat menyasarkan untuk memperdaya orang ramai supaya mempercayai mereka sebagai pemberi pinjaman wang berlesen dan mengaburi orang ramai supaya membuat pembayaran awal untuk pelbagai tujuan berkaitan pinjaman, seperti perbelanjaan pentadbiran, duti setem dan yuran guaman.

“BNM tidak mengeluarkan lesen pemberian pinjaman wang. Perniagaan pemberian pinjaman wang dikawal selia mengikut Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951 dan ditadbir oleh Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Gambar fail yang diambil pada 12 Ogos, menunjukkan Ibu pejabat Bank Negara Malaysia (BNM) yang terletak di Kuala Lumpur. BNM memberi amaran kepada orang ramai agar berwaspada kepada pemberi peminjaman wang secara haram. – AFP

“Kegiatan penipuan ini dijalankan menerusi laman web, media sosial, panggilan telefon, SMS, e-mel atau dalam bentuk komunikasi lain,” kata BNM.

Bank pusat menggesa mangsa penipuan kewangan seperti ini supaya membuat laporan polis bagi membolehkan siasatan dijalankan, dan mengingatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada terhadap mana-mana pihak yang mendakwa mereka diberikan lesen oleh BNM. – Bernama