Waspada peningkatan kes denggi semasa Raya

Waspada peningkatan kes denggi semasa Raya

KUCHING, 30 Jun (Bernama) – Jabatan Kesihatan Sarawak meminta orang ramai mengambil langkah mencegah merebaknya demam denggi kerana kes itu dijangka meningkat pada musim sambutan Aidilfitri dan cuti sekolah akan datang.

Pengarahnya, Datuk Dr Zulkifli Jantan berkata jangkaan peningkatan kes itu dibuat dengan mengambil kira pergerakan manusia secara beramai-ramai dalam tempoh berkenaan.

Menurut beliau, secara umum, keadaan denggi di Sarawak terkawal, dengan jumlah kes yang dilaporkan, menurun setiap minggu, tetapi jumlahnya meningkat sedikit selepas sambutan Gawai Dayak baru-baru ini.

“Ia boleh berulang semasa sambutan Hari Raya dan cuti sekolah akan datang sekiranya orang ramai tidak berhati-hati atau tidak mengambil langkah pencegahan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, secara keseluruhan, perebakan denggi dilaporkan meningkat di sana sini dari Januari hingga 27 Jun tahun ini, berbanding tempoh sama tahun lepas. Katanya, 1,199 kes denggi dilaporkan dalam tempoh tersebut, berbanding 631 dalam tempoh sama tahun lepas, meningkat 90 peratus, dan daripada 1,199 kes yang dilaporkan, 75 peratus atau 947 kes adalah di kawasan bandar.

Dr Zulkifli berkata jumlah kes paling tinggi dilaporkan dari daerah Sibu, dengan 746 kes, diikuti Kuching (83), Miri (69), Bintulu (43), dan tempat lain, manakala dua kematian akibat denggi dilaporkan tahun ini di daerah Selangau dan Sibu.