Waspada perdagangan tidak berlesen

Waspada perdagangan tidak berlesen

Oleh James Kon

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 Feb – Penduduk Brunei yang cuba mencari kekayaan menerusi forex dan perdagangan emas diingati supaya tidak terlibat dengan skim-skim sedemikian kerana ia hanya satu penipuan.

Tiada firma yang diberikan lesen menjalankan perdagangan mata wang asing dan emas di Brunei, kata Autoriti Monetari Brunei Darussalam (AMBD).

Pengawal selia kewangan itu juga menasihatkan orang ramai supaya tidak berurus niaga dengan pembekal perkhidmatan kewangan haram dan jangan mendedahkan butiran kewangan peribadi kepada mereka.

Nasihat itu dibuat dalam kenyataan kepada media mengenai promosi-promosi yang sedang dijalankan di media sosial untuk menarik orang ramai memulakan perdagangan mata wang atau mengambil kelas forex dalam talian.

AMBD dalam kenyataannya itu turut berkata, tiada undang-undang di Brunei Darussalam yang menyatakan bahawa seseorang tidak boleh terlibat dalam forex dan perdagangan emas. Semua orang mempunyai hak untuk melabur dalam mana-mana produk atau dengan mana-mana syarikat.

Jika seseorang terlibat dalam forex dan/atau perdagangan emas menggunakan wangnya sendiri bagi dirinya sendiri, dia tidak diperlukan mempunyai sebarang lesen di bawah Perintah Pasaran Sekuriti, 2013.

Bagaimanapun, sebarang kerugian yang dialami adalah di bawah risiko mereka sendiri.

AMBD tidak bertanggungjawab bagi sebarang tindakan yang diambil oleh pengguna sebaik sahaja menjalankan perdagangan forex yang dibuat bagi kepentingan peribadi pengguna, terutamanya jika mereka menggunakan platform perdagangan tidak berlesen untuk melakukannya.

Orang ramai yang terlibat dalam aktiviti-aktiviti kewangan haram juga boleh didakwa di bawah undang-undang kerana bersubahat melakukan aktiviti-aktiviti haram dengan pengendali, menurut kenyataan itu lagi.

Jika seseorang yang terlibat dalam forex dan/atau perdagangan emas mengambil wang daripada orang awam, yang termasuk saudara terdekat atau rakan-rakan, ia akan dianggap sebagai aktiviti terkawal di bawah Perintah Pasaran Sekuriti dan memerlukan lesen. Butiran lanjut mengenai aktiviti-aktiviti terkawal dan keperluan lesen boleh didapati di http://ambd.gov.bn/SiteAssets/Download/SMO2013.pdf.

Sementara itu, mereka yang ingin mengajar forex atau perdagangan emas bagi mengaut keuntungan, perlu mendapatkan kebenaran daripada Kementerian Pendidikan. Bahan-bahan yang diedarkan semasa kelas-kelas juga boleh dianggap sebagai nasihat pelaburan yang memerlukan lesen di bawah SMO, ujar pengawal selia kewangan itu lagi.

Menurut AMBD, syarikat-syarikat berhad di Brunei Darussalam atau luar negara tetapi menyasarkan rakyat Brunei, yang bertindak sebagai pengendali pasaran (seperti pertukaran sekuriti, rumah penjelasan, kemudahan perdagangan) tanpa lesen sewajarnya dianggap bersalah di bawah Seksyen 52, Perintah Pasaran Sekuriti, 2013 dan boleh dijatuhi hukuman denda tidak melebihi $10,000,000, penjara sehingga 10 tahun atau kedua-duanya sekali.

Penipuan pertukaran mata wang asing adalah mana-mana skim perdagangan yang digunakan untuk menipu peniaga dengan meyakinkan mereka bahawa mereka boleh mengaut keuntungan tinggi dengan melabur dalam pasaran pertukaran mata wang asing. Sebilangan penipuan boleh menarik minat atau kelihatan sah.

Penipuan-penipuan berkenaan mengambil kesempatan terhadap peniaga yang mencari jawapan ajaib kepada kemenangan dalam pasaran-pasaran perdagangan mata wang atau emas.

Menurut pakar-pakar pasaran, pasaran pertukaran mata wang asing adalah seperti permainan yang mana jika seorang menang pasti ada yang kalah dan sebaliknya. Bagaimanapun, komisen pembrokeran dan kos transaksi lain ditolak daripada hasil semua peniaga, menjadikan pertukaran mata wang satu permainan tidak ada yang menang.

AMBD menjelaskan bahawa pelaburan memerlukan masa, usaha dan aset atau wang untuk mendapatkan pulangan atau ganjaran. Orang awam boleh melaburkan wang dalam produk-produk kewangan untuk mendapatkan pulangan menguntungkan. Bagaimanapun, ia mempunyai risikonya.

ARTIKEL YANG SAMA