Waspada perosak akidah

Waspada perosak akidah

Oleh Pg Fairol RMF

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Sept – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah menegaskan kita umat Islam pada hari ini, mustahaklah belajar daripada peristiwa hebat Nabi Ibrahim A.S supaya jangan sekali-kali lupa terhadap usaha-usaha licik makhluk durjana iblis untuk merosakkan akidah dan pegangan hidup kita.

Ingatlah, tekan Baginda Sultan, serangan-serangan iblis bukan berlaku secara fizikal, tetapi melalui pelbagai jaringan atau rangkaian dalaman manusia.

“Kita hanya mengetahui serangan itu, apabila umat Islam sering-sering diasak oleh dakwaan-dakwaan yang tidak betul, seperti menganggap agama Islam ketinggalan zaman atau hukum-hakamnya sangat menyusahkan dan lain-lain.

“Jika dakwaan atau anggapan seperti ini turut dibenarkan oleh orang Islam sendiri, walaupun cuma, setakat bisikan di dalam hati sahaja, maka itupun sudah boleh dikhuatiri sebagai mencederakan akidah mereka.”

Kebawah Duli Yang Maha Mulia bertitah sedemikian dalam titah Baginda sempena Sambutan Hari Raya Aidiladha yang akan disambut oleh umat Islam di seluruh dunia esok.

Baginda Sultan ketika berkenan mengurniakan titah perutusan sempena Hari Raya Aidiladha. – Infofoto
Baginda Sultan ketika berkenan mengurniakan titah perutusan sempena Hari Raya Aidiladha. – Infofoto

Terdahulu dalam titah, Baginda menekankan bahawa Aidiladha merupakan salah satu syiar Islam yang agung. Kisah kesanggupan Nabi Ibrahim A.S untuk menyembelih puteranya Nabi Isma’il A.S adalah satu manifestasi iman yang luar biasa yang mustahak untuk dicontohi.

“Allah S.W.T telah menguji dua beranak ini dengan seberat-berat ujian, tetapi mereka telah berjaya melalui ujian tersebut. Kejayaan inilah yang dinamakan ‘nikmat’,” titah Baginda.

Titah Baginda lagi, peristiwa besar dan hebat ini mengandungi sebesar-besar hikmah dan pengajaran untuk umat Islam. “Baik disedari atau tidak, kita orang-orang Islam, dari dahulu sampai sekarang, tidak putus- putus daripada menerima ujian.

Tujuan ujian itu, tekan Baginda, ialah sebagai sebab untuk Allah mengurniakan nikmat-Nya kepada kita, andainya kita berjaya melalui ujian tersebut.

“Ujian paling mencabar, biasanya dikaitkan dengan akidah, kerana apabila akidah rosak, maka harga kita selaku hamba Allah akan jatuh sejatuh-jatuhnya.

“Inilah yang dimahukan oleh makhluk iblis, supaya kita manusia ini ditimpa musibah rosak akidah. Perkara ini telah pun dirakam oleh Allah melalui peristiwa yang dialami oleh Nabi Ibrahim dan Nabi Isma’il A.S, di mana iblis telah mencuba sedaya upayanya untuk memesongkan akidah dua beranak ini supaya mengingkari titah perintah Allah.”

Baginda seterusnya bertitah, inilah hikmahnya kita menyambut Aidiladha yang Mubarak sambil melaksanakan ibadat korban, supaya kita sama-sama mengambil iktibar daripada peristiwa, bagaimana Nabi Ibrahim A.S dan putera Baginda, Nabi Isma’il A.S diasak oleh iblis untuk mengingkari perintah Allah.

Namun kedua-dua nabi itu, dengan berkat keimanan dan tawakal mereka yang bulat kepada Allah, maka Allah telah memelihara mereka daripada terperangkap oleh bisikan iblis yang durjana itu. Demikianlah, tegas Baginda, kita semua perlu sentiasa waspada untuk menyelamatkan akidah kita dan sekali gus, menyelamatkan diri daripada api neraka.

“Ini bukan tugas kecil, tetapi adalah tugas besar lagi mencabar. Kerana bukan semua orang dapat menyedari taktik-taktik iblis, kecuali mereka yang dikurniakan dengan petunjuk sahaja.”

Oleh itu, titah Baginda lagi, seyogialah kita mendekatkan diri kepada Allah dengan memohon petunjuk dan bimbingan-Nya dalam semua perkara, terutama ketika kita menghadapi ujian-ujian mencabar. Ketika petunjuk dan bimbingan itu diperoleh, maka itulah sebenar-benar nikmat.

Baginda turut bertitah mengajak kita sama-sama berdoa semoga Allah SWT sentiasa melimpahkan rahmat-Nya kepada kita semua, khasnya kepada para jemaah haji kita yang sedang menyempurnakan ibadat haji di tanah suci, mudah-mudahan mereka memperoleh haji yang mabrur.

Baginda dan kerabat diraja yang lain turut berkenan mengucapkan Selamat Hari Raya Aidiladha kepada seluruh lapisan rakyat beragama Islam di mana sahaja mereka berada.

ARTIKEL YANG SAMA