Waspada petualang zaman

Waspada petualang zaman

BANDAR SERI BEGAWAN, 31 Dis – Kita tidaklah boleh lalai atau leka daripada berhati-hati atau waspada terhadap situasi-situasi yang tidak menentu, di mana dunia seolah-olah sebuah pentas tempat bertelagah.

Ini semua merupakan duri bagi keamanan dan ketenteraman. Ia berpunca tidak lain, dari anasir dan petualang zaman, titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

Titah Baginda, anasir dan petualang ini tidak terbatas kepada penjahat-penjahat bersenjata sahaja, malah mereka juga menggunakan ‘senjata minda’ berupa pemikiran-pemikiran atau idea-idea yang boleh memesongkan manusia.

“Mereka menguasai penerbitan-penerbitan dan siaran-siaran sehingga kerana kuatnya propaganda mereka itu, menjadikan perkara dusta dan palsu pun akan dianggap betul dan benar.

“Di sinilah kita perlu bersikap lebih bijaksana dalam mengisi hari-hari kita pada setiap detik dan ketika. Kita mesti perhatikan apa yang melintas di hadapan mata dan menilai apa yang disogok atau dihidangkan kepada kita, sama ada ia intan ataupun kaca.”

Kebawah Duli Yang Maha Mulia mengingatkan demikian dalam titah Baginda sempena menyambut Awal Tahun Baru 2016 yang disiarkan secara langsung melalui RTB malam ini.

Baginda seterusnya mengingatkan bahawa dalam penilaian, janganlah kita memakai yang lain-lain sebagai neraca melainkan ambilah ugama sebagai neraca itu, nescaya kita tidak akan kecewa atau terpedaya.

“Dalam masa yang sama, kita akan menangani pembangunan. Kita akan terus bergerak ke arah pertumbuhan ekonomi yang mantap dan berdaya saing di samping menyedari bahawa cabaran adalah hebat berbangkit daripada keadaan ekonomi dunia yang tidak menentu.

“Alhamdulillah, kita bersyukur kerana dapat menikmati kehidupan yang penuh selesa di sepanjang tahun 2015 dan pada tahun 2016 ini juga keadaan itu akan berterusan hendaknya.

“Inilah harapan kita, bukan sahaja untuk Brunei, malah juga untuk seluruh warga dunia di mana saja, semoga kita sama-sama mengecapi erti kebahagiaan yang sebenar-benarnya.”

ARTIKEL YANG SAMA