Waspada produk kesihatan meragukan

Waspada produk kesihatan meragukan

Oleh Salawati Haji Yahya

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 Jun – Kementerian Kesihatan mengingatkan orang ramai supaya berwaspada dan berhati-hati apabila berdepan dengan dakwaan-dakwaan yang mengatakan produk-produk seperti air beralkali boleh menyembuhkan penyakit.

Dalam kenyataannya hari ini, kementerian berkenaan menekankan bahawa dari segi sains perubatan terdapat percanggahan pendapat mengenai kebaikan dan keburukan air beralkali kepada tubuh badan manusia di mana kebanyakan saintis dan pakar perubatan berpendapat masih banyak kajian yang perlu dilakukan untuk memastikan kesan sebenar air ini kepada tubuh badan manusia.

Kementerian meluahkan kebimbangan yang mana orang ramai sangat mempercayai dakwaan-dakwaan ini hingga sanggup berhenti memakan ubat-ubatan yang diberikan oleh para doktor.

Bukan air berakali ini sahaja, kini pelbagai jenis produk kesihatan boleh dibeli di pasaran, antaranya seperti suplemen kesihatan, makanan dan minuman, kosmetik, ubat tradisional dan peralatan kesihatan.

Kenyataan itu berkata, para penjual produk kesihatan menggunakan pelbagai cara untuk mempromosikan barangan mereka, termasuk penjualan secara online atau media sosial, seperti Facebook, WhatsApp, Instagram, iklan dan sebagainya.

Orang ramai perlu melihat kesan jangka panjang terhadap produk-produk ini terhadap kesihatan, adakah ia benar-benar selamat dan baik untuk kesihatan.

Menurut kenyataan itu lagi, Negara Brunei Darussalam mempunyai undang-undang yang mengawal dakwaan-dakwaan tidak berasas terhadap produk-produk kesihatan.

Di bawah Perintah Ubat 2007, sesiapa yang didapati membuat sebarang dakwaan berupa iklan perubatan terhadap mana-mana produk kesihatan boleh dikenakan denda tidak melebihi $5,000, dihukum penjara bagi suatu tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Selain itu, Akta Kesihatan Awam (Makanan) Penggal 182 juga menegah dakwaan-dakwaan mengenai kesan kepada kesihatan daripada diletakkan pada produk-produk makanan. Sesiapa yang didapati bersalah boleh dipenjara selama hingga tahun atau suatu denda atau kedua-duanya sekali. Kementerian Kesihatan dalam perkara ini juga mengingatkan orang ramai supaya memastikan terlebih dahulu akan keberkesanan dan keselamatan produk-produk tersebut dan jangan berhenti memakan ubat-ubat yang telah diberikan oleh doktor kecuali atas nasihat doktor. Jika merasa ragu terhadap mana-mana produk kesihatan, dapatkan nasihat daripada doktor dan berhati-hati terhadap produk-produk kesihatan yang mempunyai dakwaan-dakwaan yang luar biasa dan menakjubkan. Sehubungan itu, Kementerian Kesihatan meminta kerjasama orang ramai untuk melaporkan kepada pihak berkuasa mengenai produk-produk kesihatan yang mencurigakan.

Untuk keterangan lanjut boleh menghubungi talian 233110 sambungan 5/6/8/9/10 atau faks terus ke Bahagian Kawalan Kualiti dan Keselamatan Makanan di talian 2331107.

ARTIKEL YANG SAMA