Waspada Sepanyol

Waspada Sepanyol

MILAN, 5 Okt – Pemain pertahanan utama Itali Leonardo Bonucci menjangkakan Sepanyol akan turun dengan motivasi tinggi apabila kedua-dua pasukan bertemu untuk perlawanan kelayakan Piala Dunia 2018, awal pagi Jumaat ini.

Bonucci berasakan kekecewaan tersingkir awal pada kempen Euro 2016 pastinya mahu ditebus La Roja apabila mereka kembali membuat perhitungan.

Itali akan melayan kunjungan La Roja di Stadium Juventus – pertemuan pertama kedua-dua pasukan Sepanyol tewas 0-2 di tangan Azzurri di pusingan 16 terbaik, Jun lalu sekali gus gagal dalam usaha merekodkan kejuaraan Eropah buat kali ketiga berturut-turut.

Kedua-dua pasukan melalui proses pertukaran jurulatih yang menyaksikan Giampiero Ventura menggantikan Antonio Conte sebagai jurulatih Itali manakala Julen Lopetegui mengambil alih tempat Vicente de Bosque.

Ketika Sepanyol membelasah pasukan kerdil Liechtenstein 8-0 dalam aksi sulung Kumpulan G kempen kelayakan di Leon, bulan lalu, Itali pula melakar kemenangan 3-1 ke atas Israel di Haifa.

Graziano Pelle (kiri) dan Leonardo Bonucci menyertai latihan skuad Itali di Pusat Latihan Coverciano dekat Florence, kelmarin. – AP
Graziano Pelle (kiri) dan Leonardo Bonucci menyertai latihan skuad Itali di Pusat Latihan Coverciano dekat Florence, kelmarin. – AP

“Kami menjangkakan Sepanyol yang berbeza kali ini berbanding pasukan yang kami temui ketika Euro. Mereka pastinya bermotivasi tinggi dan mahu membalas dendam di atas kekalahan pada Euro 2016.

“Kami perlu bekerja keras dan mengekalkan rentak seperti mana yang kami lakukan ketika berdepan Israel,” kata Bonucci.

Ditanya sama ada Sepanyol tampil sebagai pasukan pilihan, Bonucci berkata: “Ya, sudah pasti. Kami akan cuba untuk melakukan kejutan seperti mana kami lakukan ketika Euro dengan komitmen dan prestasi terbaik yang kami tunjukkan,” katanya.

Sementara itu, pemain tengah Barcelona dan Sepanyol, Sergio Busquets mengakui: “Pada kempen Euro kami melakukan beberapa kesilapan dan sekarang masa untuk membalas dendam. Keutamaan adalah layak ke Piala Dunia,” katanya. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA