Waspada ubur-ubur boleh membawa maut

Waspada ubur-ubur boleh membawa maut

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Okt – Jabatan Perikanan, Kementerian Perindustrian dan Sumber-sumber Utama mengingatkan orang ramai supaya berhati-hati dan mengambil langkah waspada bagi mengelakkan daripada disengat oleh sejenis ubur-ubur yang dinamakan balung api (box jellyfish) yang kadangkala boleh dilihat di perairan negara ini ketika musim panas.

Menurut kenyataan Jabatan Perikanan, balung api (yang nama saintifiknya chiropsalmus quadrigatus) merupakan salah satu ubur-ubur paling membawa maut, dan dengan warna biru pucat dan lut sinar, menjadikannya sukar dilihat dalam air. Ia mempunyai kepala yang berbentuk kiub dengan sesungut yang boleh mencecah 3 meter panjang.

Ubur-ubur ini menggunakan bisanya untuk menyengat atau membunuh ikan serta mangsa-mangsa lain, tetapi meskipun pada jumlah kecil ia boleh membawa maut kepada manusia.

Bisanya mengandungi toksin yang menjejaskan jantung dan sistem saraf sekali gus boleh menyebabkan kegagalan jantung dalam masa beberapa minit. Menurut kenyataan itu lagi, satu sengatan biasanya boleh menyebabkan seseorang itu tidak dapat bergerak dan menyukarkannya untuk berenang balik ke pesisir dengan sendiri.

Sehubungan itu, Jabatan Perikanan dalam kenyataannya, menasihatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati apabila berenang dan/atau melakukan aktiviti snorkel di pantai-pantai, elakkan berenang pada waktu matahari terbenam dan sentiasa memerhatikan kawasan sekeliling apabila memasuki atau ketika dalam air.

Jenis ubur-ubur balung api yang boleh membawa maut.
Jenis ubur-ubur balung api yang boleh membawa maut.

Orang ramai juga diingatkan supaya tidak menyentuh atau mengangkat bangkai ubur-ubur (walaupun telah kering) yang terdampar di pantai serta segera dapatkan rawatan jika disengat ubur-ubur berkenaan.

Jika terlihat ubur-ubur di perairan negara ini, orang ramai digesa supaya melaporkan atau memaklumkan Jabatan Perikanan dengan menghubungi talian Hotline 7297771.

ARTIKEL YANG SAMA