Waspada virus Zika, pantau kesihatan

Waspada virus Zika, pantau kesihatan

Oleh Abdul Rahim Haji Ismail

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Mei – Kementerian Kesihatan mengingatkan orang ramai yang baru pulang dari negara terjejas dengan virus Zika terutama sekali negara di Amerika Selatan dan Carribean supaya memantau kesihatan diri sendiri sekurang-kurangnya selama 14 hari.

Mereka dinasihatkan supaya berjumpa doktor jika mengalami simptom-simptom seperti demam, sakit otot, sakit sendi, sakit kepala dan konjunktivitis (jangkitan pada mata) serta ruam kerana penting bagi penghidap untuk memaklumkan kepada doktor kawasan-kawasan yang mereka telah kunjungi sebelum ini.

Dalam kenyataannya hari ini, Kementerian Kesihatan menyatakan, ekoran kes import pertama jangkitan virus Zika di Singapura seperti dilaporkan melalui media masa Singapura baru-baru ini, Kementerian Kesihatan memaklumkan setakat ini tidak ada kes jangkitan virus Zika dilaporkan di Negara Brunei Darussalam.

Menurut kenyataan itu lagi, setakat ini tidak ada rawatan khusus bagi merawat ataupun vaksin bagi mencegah jangkitan virus Zika dan rawatan lebih tertumpu kepada rawatan sokongan untuk melegakan tanda-tanda jangkitan, jika diperlukan.

Kementerian Kesihatan memaklumkan pihaknya akan terus melaksanakan langkah pemantauan, pencegahan dan pengawalan termasuk pemantauan entomologi dan pengawalan vektor.

Virus Zika adalah sejenis jangkitan bawaan serangga vektor nyamuk Aedes Aegypti yang menyebabkan demam denggi dan chikungunya dan nyamuk itu memang didapati di negara tropika.

Virus Zika terdiri daripada genus Flavivirus dalam keluarga Flaviviridae dan boleh merebak daripada seseorang yang telah dijangkiti virus Zika kepada seseorang yang sihat melalui gigitan nyamuk Aedes.

Kementerian Kesihatan berkata, hasil pemantauan entomologi menunjukkan terdapat nyamuk Aedes di negara ini dan sering membiak di dalam bekas yang menakung air seperti tin kosong, lapik pasu bunga, tayar yang terdedah dan sampah sarap yang terbiar dan pembiakannya didapati meningkat berlipat-ganda selepas musim hujan, dan nyamuk Aedes akan keluar pada awal pagi dan lewat petang.

Menurut kajian, kebanyakan kes jangkitan virus Zika tidak menunjukkan sebarang tanda atau simptom, tetapi sebahagian kecil pesakit boleh mengalami simptom seperti demam, sakit otot, sakit sendi, sakit kepala dan konjunktivitis (jangkitan pada mata) serta ruam.

Jangkitan itu juga berkemungkinan memberi kesan neurologi dan mikrosefali (microcephaly, iaitu gangguan pada perkembangan otak) dalam kalangan anak damit yang baru lahir.

Sehubungan itu, Kementerian Kesihatan mengingatkan semua pihak dan orang ramai supaya bersama-sama bertanggungjawab dalam mengambil tindakan pencegahan pembiakan nyamuk.

Ini termasuk memusnahkan tempat pembiakan nyamuk dan meluangkan masa selama 10 hingga 30 minit sekerap yang boleh, sekurang-kurangnya seminggu sekali, untuk memeriksa kawasan kediaman atau bangunan masing-masing bagi memastikan kawasan persekitaran bebas daripada pembiakan nyamuk.

Memastikan semua longkang dan aliran air dalam keadaan bersih, berfungsi dengan baik dan tidak tersumbat dan sampah sarap dibuang dengan teratur dan tidak ada bekas-bekas yang terbiar yang boleh menakung air.

Mereka juga dinasihatkan supaya memakai pakaian berlengan panjang dan seluar panjang dan mengelakkan daripada memakai pakaian berwarna gelap kerana warna gelap akan menarik perhatian nyamuk.

Selain itu pembiakan nyamuk Aedes juga boleh dicegah menggunakan semburan racun serangga, lingkaran ubat nyamuk atau kepingan penghalau nyamuk dan menggunakan penghalau serangga (insect repellent) terutama bagi aktiviti luar.

Orang ramai terutama wanita mengandung yang akan mengunjungi negara-negara terjejas dinasihatkan untuk mengambil langkah berjaga-jaga sementara orang ramai yang telah mengunjungi negara terjejas dan mempunyai tanda-tanda jangkitan juga dinasihatkan untuk mendapatkan pemeriksaan di pusat kesihatan berdekatan.

Kementerian Kesihatan berkata pihaknya akan terus memantau kejadian jangkitan virus Zika dengan kerjasama pihak Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dari semasa ke semasa dan melaksanakan tindakan yang diperlukan termasuk memaklumkan sebarang perkembangan kepada orang ramai.

Bagi sebarang pertanyaan tentang jangkitan virus Zika ataupun penyakit bawaan nyamuk, orang ramai boleh melayari laman sesawang Kementerian Kesihatan www.moh.gov.bn ataupun menghubungi Talian Darussalam 123.

ARTIKEL YANG SAMA