Waspada wabak kolera

Waspada wabak kolera

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 Mac – Kementerian Kesihatan telah mengeluarkan nasihat supaya mengambil langkah waspada dan berjaga-jaga berikutan laporan tujuh kes kolera di negeri jiran, Limbang, Sarawak pada 3 Mac lalu.

Hasil daripada pemantauan berterusan Kementerian Kesihatan, setakat ini tidak ada kes penyakit kolera telah dilaporkan di Negara Brunei Darussalam.

Walau bagaimanapun, sebagai langkah waspada dan berjaga-jaga bagi menghindari daripada jangkitan penyakit kolera, Kementerian Kesihatan dalam kenyataannya di sini, hari ini, mengingatkan orang ramai untuk terus mengamalkan kebersihan diri, makanan dan persekitaran yang baik.

Orang ramai adalah disarankan supaya mengunjungi premis menjual makanan ataupun restoran yang mempunyai persekitaran bersih; elakkan memakan salad ataupun ulam-ulaman yang diragui kebersihannya; minum air yang dimasak ataupun air botol (mineral) yang mempunyai ‘intact seal’; dan pastikan makanan dimasak dengan sempurna.

Selain itu, orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa mencuci tangan dengan menggunakan cecair pembersih tangan atau sabun dengan air yang bersih selepas menggunakan tandas dan sebelum makan dan menyediakan makanan serta berjumpa doktor dengan segera untuk mendapatkan rawatan jika terdapat tanda-tanda penyakit kolera seperti cirit-birit terutama sekali selepas lawatan ke tempat-tempat yang terjejas.

Kementerian Kesihatan akan terus memantau kejadian wabak yang sedang berlaku di negara jiran dan akan memaklumkan kepada orang ramai mengenai perkembangannya.

Penyakit kolera adalah penyakit jangkitan usus yang disebabkan oleh kuman ‘vibrio cholera’ yang merebak melalui makanan dan air yang tercemar.

Tanda utama penyakit ini ialah cirit-birit, selain daripada itu, tanda-tanda lain yang mungkin dihidapi termasuk muntah dan sakit perut. Jangkitan kolera yang teruk boleh menyebabkan kekurangan air di dalam badan dan kematian, jika tidak dirawat.

Untuk maklumat lanjut mengenai dengan penyakit ini, orang ramai bolehlah menghubungi talian Healthline 145.

ARTIKEL YANG SAMA