Watford, Chelsea seri tanpa jaringan

Watford, Chelsea seri tanpa jaringan

LONDON, 4 Feb – Kapten Chelsea, John Terry yang bakal mengucapkan selamat tinggal, berjaya memastikan rekod bersihnya apabila memastikan kelab itu seri 0-0 di Watford dalam saingan Liga Perdana, awal pagi tadi.

Membuat kemunculan pertama sejak mengumumkan dia tidak ditawar kontrak baharu, Terry berjaya menghalang penyerang Watford, Odion Ighalo daripada menjaringkan gol bagi membantu Chelsea mengekalkan rekod tanpa kalah di bawah pengurus sementara Guus Hiddink kepada sembilan perlawanan dalam semua pertandingan.

Penjaga gol Watford, Heurelho Gomes muncul pemain paling menonjol apabila tangkas menyelamatkan beberapa percubaan pada babak kedua bagi menghalang Chelsea membawa pulang tiga mata sekali gus menyaksikan juara bertahan itu sekadar naik satu tangga ke kedudukan 13.

Hiddink mempertahankan Diego Costa selepas penyerang Chelsea itu dikasari Juan Carlos Paredes pada akhir babak pertama, yang terdahulu dirempuh Sebastian Prodl hingga terjatuh.

“Ia sangat jelas dan di depan mata kami-Costa ditumbuk di belakang dan kemudian dia tersandung dan meletakkan tangannya di kepala,” kata pengurus dari Belanda itu.

John Terry dan Thibaut Courtois bersalaman selepas sahaja tamat perlawanan antara Watford menentang Chelsea. – Reuters
John Terry dan Thibaut Courtois bersalaman selepas sahaja tamat perlawanan antara Watford menentang Chelsea. – Reuters

“Saya cuba melindungi pemain saya kerana dia diprovokasi lawan.

“Dia (Costa) suka untuk menggunakan kekuatan fizikal tetapi dia perlu melakukannya mengikut peraturan.

Kadang kala pemain menggunakan fizikal tetapi dia juga terpaksa berbuat demikian.

“Keputusan itu meletakkan Watford yang dikendalikan Quique Sanchez Flores berada di tempat kesembilan dengan empat mata mendahului Chelsea.

Sementara itu, Everton menamatkan badi lima perlawanan tanpa kemenangan dengan menewaskan Newcastle United 3-0 di Goodison Park. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA