Watson sokong jurulatih luar

Watson sokong jurulatih luar

KUALA LUMPUR, 6 Ogos – Hasrat Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) untuk mendapatkan khidmat jurulatih pakar dari Jamaica, Leo Almando Brown sebagai perunding mendapat sokongan pelari terpantas Malaysia, Watson Nyambek.

Bagaimanapun, pemegang rekod 100 meter kebangsaan dengan catatan 10.30 saat sejak 1998 itu menggesa KOM supaya meletakkan syarat kepada Brown sekiranya benar-benar terdesak untuk mengguna pakai khidmatnya selepas ini.

Ini kerana Watson, 39, sendiri percaya keha­diran jurulatih asing sedikit sebanyak mampu melonjakkan prestasi para atlet, terutamanya dalam acara pecut seperti yang berlaku ketika zaman kegemilangannya dahulu.

Bekas pelari pecut Sukan Olimpik Atlanta 1996 dan Sydney 2000 itu juga pernah dibimbing oleh jurulatih asing iaitu Daniel St. Hilaire sehingga menyaksikan beberapa rekod 100m negara berjaya dileburkan dari tahun 1995 hingga 1997.

“KOM berbelanja besar untuk mendapatkan perkhidmatan jurulatih asing tetapi jika harganya melebihi RM25,000, memang nilai yang sangat tinggi. Apa kurangnya jurulatih di Malaysia?

“Jurulatih saya dulu dari Kanada (Hilaire) pun bagus dan berkualiti, dia dibayar oleh MSN (Majlis Sukan Negara) tak sampai AS$5,000 tetapi itu zaman dahulu. Dia pakar dalam acara pecut sampai saya dapat pecahkan beberapa rekod Malaysia.

“Tak salah KOM ambil dia (Brown), cuba dulu dan tengok bagaimana perkembangan dia. Tempoh setahun memang tak cukup, beri dia peluang lebih dua tahun kerana banyak perkara baharu dia perlu belajar di Malaysia.

“Kalau ada peningkatan, boleh teruskan. Kalau situasi acara pecut masih sama, lupakan saja, jangan terus membazir. Anggaplah ini satu risiko untuk mengembalikan zaman kegemilangan olahraga negara,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Kosmo! kelmarin melaporkan, KOM lebih berminat mendapatkan Brown yang merupakan ‘tulang belakang’ memajukan sukan olahraga Jamaica berbanding bekas pelari pecut Namibia, Frankie Fredericks sebagai perunding badan induk tersebut selepas ini.

Ketika ditanya adakah Watson berminat menyertai barisan kejurulatihan olahraga di MSN, pelari kelahiran Miri, Sarawak itu lebih berminat mencari bakat-bakat baharu untuk disalurkan kepada skuad elit negara seperti atlet pecut ketika ini, Jonathan Nyepa. – Kosmo