WAW! Brunei 21 Okt depan

WAW! Brunei 21 Okt depan

Oleh Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 Okt – Kedutaan Jepun di Negara Brunei Darussalam dengan kerjasama Suruhanjaya Tinggi Kanada akan menganjurkan Perhimpunan Sedunia bagi Wanita (WAW!) Brunei Darussalam 2015 pada 21 Oktober depan di Pusat Latihan Pelbagai Guna (MPTC) CAE Brunei, di sini.

Acara tahun ini, yang kedua diadakan di Brunei, akan menampilkan simposium perbincangan dengan barisan panelnya terdiri daripada Duta Besar Istimewa dan Mutlak Jepun ke Negara Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Noriko Iki; Pesuruhjaya Tinggi Kanada, Puan Yang Terutama Marina B. Laker; Duta Besar Perancis, Tuan Yang Terutama Loan Forgeron, serta Timbalan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Datin Paduka Hajah Adina binti Othman yang juga selaku tetamu kehormat majlis.

Semasa sidang media mengenai acara berkenaan, di Kedutaan Jepun, Kiulap, hari ini, Puan Yang Terutama Noriko Iki memberitahu bahawa perbincangan akan membawa tema ‘Wanita dalam Ekonomi’ dan akan membincangkan perspektif berbeza mengenai dasar-dasar dan amalan di dalam bidang ekonomi.

Acara yang akan dipengerusi oleh Pengarah Eksekutif Syarikat IQ-Quest, Dayang Fauziah binti DSP Haji Talib itu juga akan termasuk sesi soal jawab bersama hadirin dan resepsi rangkaian.

Puan Yang Terutama Marina B. Laker, semasa sidang media itu, memberitahu bahawa acara berkenaan hanya terhad kepada 150 orang peserta dan dibukakan kepada orang ramai yang berminat, usahawan dan para penyelidik.

Gambar ramai Puan Yang Terutama Noriko Iki (kiri), Puan Yang Terutama Marina Laker (tengah) dan Dayang Fauziah (kanan) semasa sidang media berkenaan.
Gambar ramai Puan Yang Terutama Noriko Iki (kiri), Puan Yang Terutama Marina Laker (tengah) dan Dayang Fauziah (kanan) semasa sidang media berkenaan.

Acara perhimpunan ini, jelasnya, bertujuan untuk menggalakkan wanita-wanita di negara ini dan negara lain untuk ikut serta dalam bidang perniagaan di samping berkongsi pengalaman dan maklumat mengenai kerjaya sebagai usahawan wanita di negara ini.

WAW! Brunei 2015 akan menampilkan wanita-wanita terkemuka di Negara Brunei Darussalam dari pelbagai agensi kerajaan dan persatuan di dalam bidang perniagaan dan penyelidikan.

Para peserta juga akan berpeluang untuk bertukar-tukar pandangan, berkongsi pengalaman, bertanya soalan dan meningkatkan rangkaian mereka bersama para usahawan, orang-orang berpengaruh sosial dan ekonomi serta orang-orang yang percaya dengan ‘A Society where Women Shine’.

Sehubungan itu, orang ramai yang berminat, bolehlah membuat tempahan mulai hari ini dengan menghubungi Kedutaan Jepun di talian 2229265 atau e-mel ke alamat amanda@bw.mofa.go.jp

ARTIKEL YANG SAMA