WAW! Brunei Darussalam 5 Dis

WAW! Brunei Darussalam 5 Dis

Oleh Pg Fairol RMF

BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Nov – Kedutaan Jepun di Brunei Darussalam dengan kerjasama Suruhanjaya Tinggi Kanada dan sokongan daripada Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan akan menganjurkan Perhimpunan Sedunia untuk Wanita: WAW! Brunei Darussalam pada 5 Disember ini di Pusat Latihan Serba Guna (MPT) CAE Brunei, Rimba.

Pengumuman mengenai acara itu telah dibuat oleh Duta Besar Jepun ke Brunei Darussalam, Noriko Iki semasa sidang media yang berlangsung di Kedutaan Jepun di Brunei Darussalam, Kiarong, petang tadi.

Turut hadir pada sidang media itu ialah Pesuruhjaya Tinggi Kanada ke Brunei Darussalam, Marina B. Laker, Pemangku Pengarah Bahagian Perkhidmatan Sosial Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Hajah Noridah binti Haji Abdul Hamid mewakili Setiausaha Tetap Kedua KKBS, Datin Paduka Dr. Hajah Norlila binti Dato Paduka Haji Abdul Jalil.

Noriko Iki menjelaskan, tahun ini merupakan kali ketiga WAW! diadakan dengan kali ini membawa tema ‘Perusahaan – Wanita – Teknologi: Merentasi Sempadan Kaca’.

Acara itu nanti akan menampilkan ceramah oleh dua ahli perniagaan wanita terkenal iaitu Ketua Pegawai Eksekutif Y’s Staff dan Pengurusan Telework, Yuri Tazawa dari Jepun dan Ketua Pegawai Eksekutif BAG Networks, Dayang Haslina binti Mohd Taib dari Brunei Darussalam.

Noriko Iki ketika menerangkan tentang WAW! Brunei Darussalam pada sidang media kelmarin.
Noriko Iki ketika menerangkan tentang WAW! Brunei Darussalam pada sidang media kelmarin.
(Dari kiri) Hajah Noridah, Marina B. Laker, Noriko Iki dan Dayang Haslina semasa sidang media di Kedutaan Jepun, kelmarin.
(Dari kiri) Hajah Noridah, Marina B. Laker, Noriko Iki dan Dayang Haslina semasa sidang media di Kedutaan Jepun, kelmarin.

Noriko Iki turut menjelaskan, WAW! Brunei Darussalam 2016 yang akan diadakan pada jam 1 petang itu menjadi platform bagi menyatukan wanita di Brunei yang berminat dalam perbincangan dan mempelajari mengenai peluang pekerjaan dalam Teknologi Komunikasi Maklumat (ICT), perusahaan dan manfaat dalam menggunakan telework.

Acara tersebut dibukakan secara percuma bagi memberikan peluang untuk bertukar pendapat, bertanya soalan dan menjalin rangkaian dengan para pengusaha, orang-orang berpengaruh sosial dan ekonomi serta orang ramai yang percaya dalam ‘masyarakat di mana wanita bersinar’.

Jika berminat menghadiri WAW! Brunei Darussalam 2016 sebagai penonton dan menyertai rangkaian ahli, orang ramai boleh menghubungi Kedutaan Jepun di talian 2229265 atau e-mel ke alamat Jessica@bw.mofa.go.jp.

ARTIKEL YANG SAMA